KUALA LUMPUR — Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggesa pucuk kepimpinan pusat mengambil pendekatan tegas dengan menyediakan satu rangka tindakan khas atau blueprint bagi memantapkan pentadbiran parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Pergerakan itu mahu menekankan keperluan rangka tindakan juga bagi mendisiplinkan PKR yang sepanjang setahun lalu telah kehilangan 10 wakil rakyat, yang bertindak keluar dan ada yang dipecat.
“Parti perlu ada satu peta panduan hala tuju masa depan yang jelas... ya, perlembagaan adalah asas kepada parti tetapi kita memerlukan satu panduan melibatkan semua aspek perjalanan parti.
“Perkara ini akan menjadi penekanan Wanita (PKR),” kata Ketuanya Zuraida Kamaruddin ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya.
Keperluan ini dijangka akan dibahaskan perwakilan Wanita sebelum dibawa ke Kongres Nasional Keenam PKR pusat.
Ahli Parlimen Ampang ini menjelaskan, selepas 12 tahun ditubuhkan, PKR perlu memberi penekanan ke atas aspek pemantauan dan tindakan susulan supaya parti kelihatan lebih mantap.
“Ini kelemahan kita, kurang fokus aspek pemantauan dan tindakan susulan,” katanya.
Sambil menyifatkan PKR sebagai parti yang bergerak dengan pantas termasuk kejayaan cemerlang dua tahun lalu, kata Zuraida, parti perlu menyepadukan usaha dan strategi bagi menghadapi cabaran masa depan.
“... belum cukup, tiada rangka tindakan, kita perlukan rangka tindakan untuk diikuti khususnya soal disiplin, jentera dan struktur parti,” katanya.
Perkara itu dijangka akan ditekankan oleh beliau dalam ucapannya esok.
Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita akan dirasmikan di Kota Baru, malam ini.
Rangka tindakan yang digerakkan oleh Wanita PKR, kata Zuraida, juga akan menggesa supaya pucuk kepimpinan parti mengambil tindakan-tindakan sewajarnya bagi memastikan sasaran penyertaan 30 peratus wanita dicapai.
“Rangka tindakan ini perlu menyenaraikan pendekatan bagaimana penyertaaan 30 peratus wanita dalam arus perdana parti dapat dicapai.
“Misalnya penyertaan wanita di peringkat cabang dan ranting, bagaimana ia boleh dilaksanakan dan sebagainya,” kata Zuraida lagi.
Mengaitkan rangka tindakan dan soal disiplin, Zuraida berkata, “sejak kebelakangan ini, selepas dua tahun (pilihan raya), ada ahli yang membuat kenyataan media yang mana tidak beretika.”
“Kami (parti) kelihatan relaks, parti perlu mengadakan garis panduan dalam menangani masalah-masalah ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan