HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Mei 2010

Permohonan Anwar Untuk Semakan Ditangguhkan

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusannya yang terdahulu bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusannya sendiri.

Peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh berkata keputusan panel itu telah menolak banyak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang memutuskan memang terdapat hak untuk menyemak keputusannya sendiri, namun ia perlu dilakukan secara berhati-hati dan dalam kes-kes luar biasa sahaja.

Peguam veteran itu berkata keputusan terbaru Mahkamah Persekutuan itu telah mengatasi semua keputusan yang dibuat mahkamah itu sebelum ini dan kini merupakan satu undang-undang, yang bermaksud sesuatu kes itu tidak boleh dikemukakan untuk semakan.

Permohonan untuk menyemak semula keputusan panel sebelum ini dibuat dalam semakan terhadap saman Anwar mengenai kesahihan pemecatannya daripada jawatan Kabinet oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, pendengaran permohonan itu kemudian ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan sementara menunggu alasan penghakiman daripada panel yang telah membuat keputusan mengenai isu bidang kuasa.

Pada 25 Feb, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Anwar untuk menyemak keputusan mahkamah itu yang menolak permohonan anggota Parlimen Permatang Pauh itu bagi dibekalkan dokumen penting, termasuk sampel DNA Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa diliwat Anwar, pada peringkat praperbicaraan kes liwat itu.

Dalam kes itu, panel memutuskan Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusannya sendiri. Hari ini, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria memberitahu pihak yang berkenaan bahawa korum itu yang telah membuat keputusan berhubung perkara itu akan mengeluarkan alasan penghakiman tidak lama lagi.

Beliau berkata adalah lebih baik menunggu alasan penghakiman itu sebelum meneruskan permohonan semakan.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Suriyadi Halim Omar.

Karpal Singh bersetuju dengan pandangan panel itu dan mencadangkan mahkamah menubuhkan korum dengan jumlah anggota lebih ramai untuk mendengar perkara itu dan Arifin menjawab mahkamah akan menimbangkannya, bergantung kepada alasan penghakiman itu.

Dalam samannya, Anwar meminta mahkamah mengisytiharkan pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan oleh Dr Mahathir adalah menyalahi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Beliau menuntut ganti rugi sebagai gantian kepada dikembalikan jawatannya itu.

Beliau memfailkan semakan itu selepas tidak berjaya di peringkat Mahkamah Tinggi dan juga rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.


Tiada ulasan: