HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Mei 2010

Sarawak banyak restoran halal

UTUSAN ONLINE

KUCHING - Sejumlah 281 restoran dan hotel di Sarawak telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sehingga hari ini.

Perkembangan itu menyaksikan Sarawak mendahului negeri-negeri lain di Semenanjung dan Sabah dari segi bilangan yang memperoleh sijil halal Jakim.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, peningkatan bilangan restoran dan hotel yang mendapat pengiktirafan halal jelas menunjukkan pengusaha premis makanan berkenaan bersikap lebih bertanggungjawab.

Katanya, pada masa sama para pengusaha berkenaan berusaha memperoleh sijil halal bagi meyakinkan pelanggan terutama di kalangan masyarakat Islam.

''Jika kita berkunjung ke restoran atau premis makanan di Kuala Lumpur, boleh dilihat tidak banyak premis yang mempunyai pengiktirafan halal.

''Sebaliknya ada antara premis yang menggunakan logo halal yang bukannya dikeluarkan oleh Jakim," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil halal kepada tiga dapur Hotel Pullman Kuching di sini hari ini.

Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur berkata, beliau memuji sikap pengusaha premis makanan yang bukan beragama Islam di negeri ini kerana sentiasa mementingkan pengiktirafan halal.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan para pelanggan Islam tidak berasa was-was apabila mengunjungi premis makanan mereka.

Tambahnya, secara keseluruhannya, hampir 75 peratus sijil halal yang dikeluarkan Jakim dimiliki pengusaha makanan di kalangan mereka yang bukan beragama Islam.

''Perkara ini berlaku mungkin disebabkan pengusaha makanan beragama Islam memandang remeh pengiktirafan ini," ujarnya.

''Sepatutnya, semua pengusaha premis makanan tidak kira Islam atau bukan Islam sepatutnya memohon sijil halal," ujarnya.

Daud berkata, berdasarkan soal selidik yang dilakukan, premis makanan yang mempunyai pengiktirafan halal mampu meningkatkan pendapatan sehingga 25 peratus.

''Bukan sukar untuk mendapatkan pengiktirafan halal, asalkan pemilik premis mematuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan, sijil halal mungkin akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan," kata beliau.

Tiada ulasan: