HALAMAN SANTAI

Sabtu, 22 Mei 2010

Sudut Pidato: Jangan cepat hukum pelajar

UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA - Institut pengajian tinggi awam (IPTA) hari ini diingatkan tidak terlalu cepat menghukum pelajar yang menggunakan sudut pidato bagi meluahkan pandangan berbeza dengan pemikiran arus perdana.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ingatan tersebut perlu kerana tidak semestinya pelajar berkenaan berfungsi sebagai pembangkang atau penentang.

Katanya, ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk melahirkan pelajar IPTA yang berfikiran kritis.

"Tidak ada masalah untuk pelajar berlainan pandangan kerana yang penting adalah ia disampaikan dengan cara yang baik.

"Kalau kita cepat sangat menghukum, maka sesiapa pun tidak akan menggunakan sudut pidato sebagai tempat meluahkan pandangan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan diploma kepada 71 pelajar Kolej Antarabangsa Taj membabitkan bidang pengurusan perniagaan dan automotif di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kolej Antarabangsa TAJ, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Minggu lalu, beliau meluahkan rasa kecewa apabila sudut pidato yang dilancarkan semula Februari lalu tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Sehubungan itu, Saifuddin memberitahu, pihak pengurusan IPTA seharusnya mengambil tindakan yang bijak bagi menangani perbezaan pandangan tersebut.

Ini kerana, beliau menambah, perbezaan itu wujud mungkin kerana pelajar berkenaan mempunyai idea yang berbeza atau tidak mendapat maklumat yang sebenar.

''Jadi, soal menghukum perlu menjadi pilihan yang terakhir atau jangan cepat sangat melabelkan pelajar sebagai pembangkang atau penentang.

"Ini kerana dunia akademik adalah dunia pemikiran kritis kerana jika tidak, IPTA akan menjadi sama seperti sekolah biasa," katanya.

Tiada ulasan: