| Oleh: MAIL MATHEW BERBAGAI lapisan masyarakat tempatan di Tenom menyifatkan ucapan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Penganjur Induk Pesta Kaamatan, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan ketika merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Tenom pada Khamis lalu sebagai suatu ‘wake up call’ kepada rakyat di negeri ini betapa pentingnya perpaduan perlu terus dipupuk dan dipertahankan demi pembangunan sejagat. Antara yang diungkap Pairin ketika itu, beliau tidak teragak-agak menyifatkan konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri ke-6 Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usahanya menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan keturunan di negara ini satu intipati (ingredients) yang tepat, relevan dan berada di landasan yang betul. Lantaran itu para pemimpin tempatan di sini menyambutnya dengan berlapang dada malah ia bersesuaian dengan tema sambutan Pesta Kaamatan kali ini yang bertajuk ’Kepelbagaian kebudayaan Teras Keharmonian’. Seorang Ahli Majlis Persidangan Adat Istiadat Suku Murut yang juga mantan Ketua Daerah Tenom, Haji Maribin Rugin, 67, menegaskan bahawa sesungguhnya perayaan Pesta Kaamatan itu berpaksikan adat istiadat Kedusunan dan Kemurutan di negeri ini namun kesukuan lain ada baiknya jika mereka juga turut sama memeriahkan. Maribin sangat bersetuju kenyataan ‘Huguan Siou’ bahawa perayaan Pesta Kaamatan perlu diteruskan dari masa ke semasa untuk mengelak pesta yang berprestij itu akan pupus ditelan zaman. “Mungkin 10 tahun akan datang, pesta ini disambut lebih meriah dengan penambahan pengacaraannya oleh generasi terkini yang disesuaikan dengan zaman mereka, tetapi apa pun mereka akan lakukan tidak akan bermasalah asalkan ketulenan acara asalnya tidak diubahsuai,” jelas Haji Maribin. Kata Maribin, apa yang penting di dalam acara tersebut mesti ada majlis pemujaan semangat padi oleh ‘bobolian’ dan acara ‘magimamata’ dalam melengkapkan upacara Pesta Kaamatan. Acara sugandoi atau unduk ngadau ia suatu acara tambahan sebagai penyeri majlis. Selain itu seorang tokoh agama dan ahli korporat, Kapitan Wong Tet Yun, 56, berpendapat bahawa keunikan senibudaya mengikut etnik kesukuan masing-masing seperti Suku Murut yang mempunyai 8 etnik dan juga suku Kadazandusun merancakkan lagi kedatangan pelancong luar ke negeri ini khususnya di kawasan Pedalaman. Tegas Wong lagi, sepertimana kenyataan Pairin berhubung lonjakan pembangungan di pedalaman apabila Koridor Pembangunan Sabah (SDC) mencapai matlamatnya, Wong yakin bahawa industri pelancongan, pembuatan seperti kraftangan akan berkembang maju. “Kita yakin saranan Datuk Seri Pairin dalam SDC di mana Pedalaman berada di Wilayah Tengah akan mencapai objektif untuk menjadikan kawasan ini sebagai ‘Education hub’, setelah kolej-kolej dimajukan, apatah lagi jika sebuah Universiti dibina di sini,” tegas Wong. Sekarang ini pun kata Wong, industri pelancongan kita sudah mempunyai sumber asas dan hanya perlu dinaiktarafkan agar berdaya maju. Manakala Ketua Kampung (K.K.) Udin Bangkiwoh, 45, optimis bahawa semangat dan konsep 1Malaysia perlu diberi penekanan yang mendalam melibatkan JKKK atau K.K mahupun Ketua Masyarakat Cina. Jika tidak, tegas Udin, penerapan nilai-nilai perpaduan yang kental sepertimana yang ditekankan dalam konsep 1Malaysia tidak akan sampai ke pelusuk akar umbi dan sekaligus misi dan visi 1Malaysia tidak akan berjaya. |
HALAMAN SANTAI
Ahad, 23 Mei 2010
UCAPAN PAIRIN ‘WAKE-UP’ CALL BUAT KDM?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan