HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 September 2011

Agresif rasional yang bertempat

Oleh Izmil Amri


Memberi jawapan rasional adalah satu kemahiran yang kurang dititiberatkan oleh ramai orang.

Mungkin kerana selalunya bila kita dipertanyakan tentang sesuatu, sela masa yang digunakan untuk memberi jawapan rasional adalah lebih panjang berbanding dengan memberi jawapan mudah yang sudah berada di hujung lidah.

Justeru kita memilih untuk buat kerja senang, berbanding kerja yang sedikit payah. Ini adalah satu kerugian besar. Kemahiran ini seharusnya diasah dan dididik dengan baik andai punya cita-cita untuk terjun dalam dunia politik.

Seandainya seorang politisi gagal untuk menyebatikan kemahiran ini dalam pertuturan sehari-hari, politisi tersebut seharusnya balik rumah, makan nasi sepinggan, tarik selimut dan tidur. Tak perlu lagi jadi politisi.

Jawapan tidak rasional membuka ruang untuk disalah erti, tidak kiralah secara sengaja atau pun tidak.

Jawapan tidak rasional adalah bahan utama untuk dijadikan berita muka depan suratkhabar yang kerjanya membantai pihak lawan partai pemerintah.

Malahan, satu jawapan tidak rasional boleh dibawa untuk jadi bahan sampai berminggu lamanya, seperti jawapan spontan tapi tak rasional, “Saya lupa.”

Sebagai orang politik yang mempunyai musuh ramai, setiap tutur kata harus bijak, selain harus agresif.

Politisi yang tidak agresif juga harus balik tidur. Agresif wujud dalam dua keadaan, atau mungkin lebih. Pertama, agresif hebat, kedua, agresif yang tidak hebat.

Agresif Bung Karno

Agresif yang hebat, adalah agresif seperti Bung Karno. Membaca sejarah kemerdekaan Indonesia, kita pastinya akan dipertemukan dengan peristiwa penculikan Sukarno oleh para pemuda Menteng 31 yang lebih dikenali sebagai Peristiwa Rengasdengklok.

Peristiwa ini penting dalam sejarah kemerdekaan Indonesia kerana peristiwa ini menceritakan gelora semangat anak muda Indonesia yang kuat menuntut proklamasi Merdeka, cuma dua hari selepas tentera Jepun menyerah kalah.

Sebelum terjadinya peristiwa tersebut seorang pemuda Menteng 31 bernama Wikana telah mengeluarkan kata-kata ancaman sewaktu mereka bersemuka dengan Bung Karno di kediaman beliau. “Kalau Bung Karno tidak mau mengumumkan proklamasi, di Jakarta besok akan terjadi pertumpahan darah.”

Bung Karno menjawab gertakan itu sambil berteriak, “Ini batang leherku. Potonglah leherku malam ini juga.” Hatta sampai menjelang akhir hayatnya pun Bung Karno tetap teguh dalam mempertahankan pendiriannya. “Aku tidak mau digoyang-goyang,” kata beliau. Ini mungkin normal, bagi seorang pemidato yang begitu hebat.

Agresif mandom

Agresif yang tidak hebat, adalah seperti mengumumkan benda-benda atas angin, contohnya mengumumkan pemansuhan ISA.

Setelah sudah, muncul pula di konsert, stesen radio dan buat panggilan telefon gurauan seolah-olahnya tak ada kerja lain boleh diperbuat dalam negara penuh masalah ini.

Ini tidak agresif. Cool? Jauh sekali. Malah agresif begini adalah petanda keadaan terdesak yang maha hebat.

Maka mudah dilihat gagal. Macam remaja baru nak meningkat usia, agresif konon punk, konon counter-culture. Padahal poseur. Agresif begini hanyalah ilusi. Hakikatnya lembik, mandom dan tak larat.

Kemahiran memberi respon rasional dan agresif adalah kemahiran yang hebat. Tidak seperti Bung Karno yang sekadar memberi respon agresif tetapi tidak rasional seperti yang telah disebut tadi.

Andaikata lehernya itu dipenggal malam itu juga, hasil gertaknya itu, nescaya Indonesia tidak akan punya pelakar sejarah yang demikian agung. Maka respon politik, selain agresif, harus juga rasional.

Persoalan seterusnya, benda apa itu rasional? Kita sering kali mendengar kata ini dalam perbualan suami isteri yang barangkali sedang berbalah soal kecurangan, biasanya dalam drama TV. “You ni tak rasional la” kata si suami.

Isteri akan mengakui dia lebih emosional, maka susah untuk berlaku rasional. Jadi rasional ini secara mudah faham; adalah keadaan minda yang mampu menimbang tara kemungkinan-kemungkinan serta sebab-sebab serta akibat yang mengekor daripadanya.

Rasional sang pemimpin

Lim Guan Eng, sang Ketua Menteri Pulau Pinang mempunyai kemahiran ini. Malah, kemahiran yang beliau miliki mungkin sudah berada di liga yang berbeza.

Apabila ditanya oleh media tentang pendirian beliau soal isu hukum hudud yang baru-baru ini cuba dicanang dengan harapan menyebab retak dalam Pakatan Rakyat, jawapan yang beliau berikan adalah jauh berlainan berbanding dengan yang diharapkan.

Sungguh pun seolah bermain tarik tali seperti kebiasaannya sekalian politisi, Guan Eng memberi jawapan tepat jitu dan jelas nyata.

Antara lain dia berkata, kalau pun DAP dan PAS punya pendapat berbeza dari soal hudud, itu tidak bermakna DAP dan PAS tidak boleh kerjasama dalam hal yang berkait kepentingan rakyat.

Tidak pula dia membentak hudud mahu pun menyatakan bahawa dia punya pendirian tegas tentang undang-undang Islam dan adaptasi zaman. Tidak, dia tidak buat kerja itu.

Apabila ia menyatakan pula bahawa seluruh Jawatankuasa Eksekutif Pusat akan bertindak meletak jawatan seandainya hudud dimasukkan ke dalam dasar Pakatan, maka itu jelas kelihatan sikapnya yang berpendirian.

Bukanlah pula ia mengancam kehancuran dan perceraian seperti yang berlaku tahun 2004 dahulu.

Pendirian tahun 2011 adalah semua pemimpin DAP akan melepaskan jawatan dalam parti jika berlaku yang tidak sepatutnya berlaku itu; tapi bukan keluar dari Pakatan. Bukan lari dari prinsip. Inilah tanda berani bertanggungjawab.

Maka adalah sangat dangkal bagi UMNO dan Barisan Nasional untuk melakukan percubaan serupa, untuk memecahkan sebuah pakatan yang sudah lebih rasional berbanding tujuh tahun lalu. – Roketkini.com

Tiada ulasan: