KUALA LUMPUR: Isu utama dalam pembongkaran sejarah kemerdekaan ialah supaya rakyat menentukan adakah Umno hakikatnya adalah ciptaan penjajah British, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Tidak kira sama ada kita kaji, nilai semula atau menginterpretasikan sejarah Bukit Kepong, Mat Indera atau apa sahaja yang berkaitan dengan kemerdekaan dan perjuangan menentang British, matlamat utama kita adalah supaya rakyat yang mempunyai kesedaran menilai dengan jujur dan terbuka sama ada Umno sebenarnya dicipta oleh British untuk kepentingannya dan benarkah dakwaan kononnya parti itu ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan?" kata beliau. Menurut Mohamad, selama ini terlalu banyak pengkisahan sama ada dalam bentuk ucapan atau tulisan yang menceritakan Umno sebenarnya adalah alat British, pecacai (running dog) penjajah itu dan sebagainya.
"Ada yang menceritakan, Umno dicipta oleh British untuk mewarisi pemerintahan negara ini setelah penjajah itu tidak sanggup lagi berhadapan dengan ancaman komunis.
"Walaupun tidak sanggup lagi memerintah Malaya kerana tidak tahan ancaman kominis, British diceritakan hanya mengharapkan Umno sahaja untuk berkhidmat menjaga kepentingan ekonomi imperialnya termasuk lombong, ladang-ladang dan lain-lain malah demi kepentingan dasar luarnya apabila Malaya dimerdekakan.
"Penjajah itu diceritakan bimbang jika pihak lain selain Umno seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mengambil alih pemerintaha, kepentingan ekonominya juga akan diambil alih dan tidak ada lagi hegemoni kuasanya selepas Malaya dimerdekakan," katanya.
Bagi Mohamad, apa pun jua tentangan yang dihadapi dari Umno yang begitu histeria kerana sejarah dikaji dan tafsir semula, usaha berterusan mesti dibuat secara jujur dan berani demi kebenaran dan kepentingan generasi akan datang untuk menentukan sama ada parti itu sengaja dicipta oleh British untuk menjaga kepentingannya ke atas negara ini selepas merdeka.
"Rakyat perlu mengkaji mengapa pegawai-pegawai British yang kemudiannya menjadi pemimpin awal Umno seperti Tunku Abdul Rahman (Putra al-Haj) dan Tun Abdul Razak (Hussein) diizinkan berceramah dan berkempen ke seluruh pelusuk negara sedangkan pemimpin dan aktivis parti lain yang memperjuangkan kemerdekaan ditangkap, dipenjarakan malah ramai yang dibunuh.
"Bukan golongan kiri sahaja, semua pihak selain Umno menghadapi kekejaman British jika berjuang menuntut kemerdekaan.
"Mengkaji sejarah tersebut dengan jujur demi untuk mencari kebenaran bukan bermakna menghina tokoh-tokoh yang terlibat dalam pengkajian sejarah itu," katanya.
Dalam tulisannya yang bertajuk "And the facts are..", Raja Petra Kamarudin menceritakan bagaimana seorang penolong pegawai daerah di Terengganu yang juga pengasas Umno negeri itu, Datuk Andika, memberitahu bahawa beliau diberi perangsang oleh British supaya menyertai Umno.
Menurut Raja Petra, Andika memberitahunya bahawa British bukan sahaja memberi cuti kepadanya bagi berkempen untuk Umno malah memberikan bantuan kewangan.
Editor Malaysia Today itu juga menceritakan bahawa Andika menubuhkan Umno di Terengganu, iaitu di Dungun, selepas bertemu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak di Kuantan.
Mengulas apa yang diceritakan oleh Raja Petra itu, Mohamad berkata, sama seperti tulisan Raja Petra, banyak lagi tulisan lain yang boleh membawa kepada kesimpulan dan interpretasi yang membantu untuk menentukan adakah Umno dicipta oleh British dan menjadi pencacai penjajah itu.
Ketika diminta mengulas amaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan yang melancarkan protes sekiranya beliau hadir berceramah di negeri itu pada masa akan datang, sambil tertawa Mohamad berkata beliau akan berceramah seperti biasa di mana sahaja jika ada jemputan.
"Di Pasir Mas kampung (Presiden Perkasa, Datuk) Ibrahim Ali atau dekat rumahnya di Taman Melawati pun saya akan pergi berceramah jika ada jemputan," kata beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan