HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 September 2011

Anak khuatir wang Koperasi Felda bakal dilaburkan

Felda, pada asalnya sebuah perniagaan berasaskan perladangan, akan beralih arah kepada pelaburan luar yang melibatkan kira-kira 13 buah negara.



GOMBAK: Pelantikan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) menjadi persoalan apabila dikhuatiri melaburkan wang KPF dalam Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Pengerusi Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata persoalan timbul apabila pelantikan Isa itu dikhuatiri menjadi ‘pintu belakang’ bagi membolehkan 51 peratus ekuiti KPF bernilai RM398.32 juta dalam Felda Holdings dibawa masuk ke dalam FGVH.

“Adakah ini juga membawa maksud Isa akan menguasai aset KPF yang bernilai RM1.17 bilion dan memudahkannya melaksanakan polisi perniagaan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Gombak Setia hari ini.

Kesannya, Felda dikhuatiri akan berisiko tinggi dalam percaturan pelaburan luar negara apabila melibatkan 186,000 saham ahli dalam koperasi.

Felda, pada asalnya sebuah perniagaan berasaskan perladangan, akan beralih arah kepada pelaburan luar yang melibatkan kira-kira 13 buah negara.

Peneroka tanggung beban hutang

“Mereka mesti suntik dana untuk luaskan pelaburan mereka dan bimbang Felda akan disibukkan dengan urusan pelaburan sedangkan anak-anak syarikat Felda lain sedang mengalami masalah pentadbiran dan peneroka pula masih menanggung beban hutang yang tinggi,” katanya.

Beliau bimbang Felda akan mengalami nasib yang sama seperti Bank Bumiputera yang mengalami kegagalan urus tadbir kewangan.

Isa sebelum ini dipersoalkan pelantikannya sebagai Pengerusi KPF kerana tidak menepati syarat walaupun dipersetujui melalui mesyuarat Lembaga Pengarah.

Ini kerana syarat sah seseorang yang dilantik menjadi Pengerusi KPF mestilah merupakan seorang Peneroka Felda atau Anak Peneroka Felda atau memegang jawatan tetap di dalam Felda.

Lantikan itu juga menjadi kontroversi apabila keputusan itu mengenepikan Pengerusi KPF asal Datuk Dzulkifli Abdul Wahab yang ketika itu sedang mengerjakan Umrah di Mekah.

“Pelantikan Mohd Isa menggantikan Dzulkifli ini dibuat tanpa pengetahuan Dzulkifli sendiri yang juga merupakan Pengarah Besar Felda dan Ahli Lembaga Pengarah yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Mazlan berkata pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat ini berhubung isu dan persoalan dalam Felda.

Tiada ulasan: