HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2011

PAS sangsi majoriti penduduk sokong tubuh Perbadanan Kg Baru

MALAYSIA KINI


Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) didesak mendedahkan butiran mengenai jumlah borang soal selidik berhubung cadangan penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampungh Baru (PPKB), yang telah dipulangkan oleh penduduk.

Ketika membuat desakan tersebut, Dewan Pemuda PAS kawasan Titiwangsa (DPPKT) ingin tahu, daripada jumlah itu, berapakah jumlah keseluruhan penduduk asal Kampung Baru yang perlu diserahkan borang soal selidik berhubung cadangan penubuhan PPKB.

Timbalan ketua DPPKT, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, kenyataan bahagian komunikasi KWPKB semalam menyebut 93.8 peratus pemilik setuju dengan penubuhan PPKB.

"DPPKT mempersoalkan adakah jumlah ini menggambarkan majoriti penduduk menyokong penubuhan perbadanan tersebut, sedangkan daripada maklumat yang diperolehi, hanya 30 peratus penduduk memulangkannya," katanya dalam satu kenyataan.

DPPKT, tegasnya berpendapat, kementerian perlu mendedahkan jumlah keseluruhan borang soal selidik yang diterima.

"DPPKt juga berpendapat kementerian sepatutnya berusaha mendapatkan persetujuan penduduk, paling tidak 80 peratus daripada penduduk keseluruhannya.

"Ini kerana mereka adalah pemilik asal tanah Kampung Baru dan kerajaan berhasrat membangunkan tanah tersebut. Amat wajar kerajaan mendapatkan persetuju mereka dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jika tidak ia dianggap sebagai mengambil hak penduduk tanpa kebenaran," tegas Mohd Shahir.

Menurutnya, pihak kementerian sendiri mengakui bermasalah untuk menghubungi pemilik kerana pelbagai faktor seperti pemilik yang telah meninggal dunia, pewaris yang tidak membuat tuntutan pusaka kecil, pemilik berada di luar Kuala Lumpur, pemilik sukar dihubungi serta kesukaran mendapatkan persetujuan sesama pemilik dalam satu lot.

"Jika demikian, apa perlunya rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru dibacakan kali kedua di Parlimen pada bulan Oktober nanti?

"Bukankah ini menggambarkan cadangan kerajaan dibuat dalam keadaan terburu-buru sedangkan masih ramai pemilik belum dihubungi.

"Sepatutnya kerajaan bersabar sehingga majoriti penduduk dihubungi dan seterusnya mendapatkan persetujuan mereka dahulu, baru dibentangkan cadangan rang undang-undang Perbadanan Kampung Baru," katanya.

Mohd Shahir berkata, DPPKT tetap berpendirian bahawa kerajaan perlu membatalkan atau setidak-tidaknya menangguhkan usaha membawa rang undang-undang tersebut ke Parlimen Oktober nanti.

"Berikan ruang secukupnya buat penduduk Kampung Baru memberikan keputusan berhubung cadangan pembangunan ini," tambahnya.

Tiada ulasan: