SINAR HARIAN ONLINE
KUALA NERANG - Mengapa Kerajaan Negeri ‘tutup mulut’ dan gagal menjelaskan ke mana pergi lebihan peruntukan membaiki jalan negeri lebih RM100 juta yang tidak digunakan pada tahun lalu.
Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tahun lalu, Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan RM170 juta tetapi Kerajaan Negeri hanya menggunakan RM54 juta.
Beliau berkata selebihnya dimasukkan ke dalam sebuah tabung amanah raya yang tidak jelas.
“Tahun 2011 juga tidak jelas ke mana perginya wang peruntukan itu.
“Sebenarnya Kerajaan Negeri patut jelaskan kepada rakyat apa sebenarnya yang berlaku. Tidak perlu sembunyi fakta kerana rakyat sudah muak dengan retorik politik dan janji manis mereka,” katanya kepada media pada jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Veteran Umno Padang Terap dan Persatuan Bekas Anggota Polis Daerah Padang Terap di sini semalam.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri diminta menjelaskan kegagalannya membelanjakan peruntukan membaiki jalan negeri yang disalurkan Kerajaan Pusat secara maksimum dan tidak terus menyembunyikan fakta untuk memperdayakan rakyat Kedah.
Menurutnya, peruntukan 2011 Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan membaiki jalan rosak masih ‘tergantung’ dan tidak digunakan lagi sehingga bulan ini seperti yang difahamkan oleh pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah.
Beliau juga difahamkan bahawa Kerajaan Negeri belum membuat lantikan kontrak secara rasmi untuk melaksanakan kerja itu dan ia menimbulkan tanda tanya kepada rakyat kerana hanya mempunyai dua bulan setengah untuk membelanjakan wang tu.
“Saya mengandaikan mungkin ada sedikit kekeliruan dan perbalahan yang menyebabkan tiada lagi kontraktor berkelayakan yang dilantik, kalau pun dilantik, bila pengesahan lantikan atau legal binding dibuat?
“Peraturan kewangan jelas mewajibkan Kerajaan Negeri menggunakan wang peruntukan baiki jalan negeri sehingga 15 Disember ini disebabkan sebarang perbelanjaan wang selepas tarikh itu dipanggil Akaun Kena Bayar (AKB),” katanya.
Menurutnya, jika selepas Januari tahun berikutnya, Kerajaan Negeri perlu memohon untuk menggunakan peruntukan itu (AKB).
Mahdzir yang juga Adun Pedu, turut meragui keupayaan Kerajaan Negeri untuk menghabiskan wang peruntukan membaiki jalan negeri yang diterima dalam tempoh dua bulan setengah. Ini menunjukkan kelemahan Kerajaan Negeri menguruskan pentadbiran dengan baik.
“Bukan Kerajaan Pusat tidak hantar peruntukan (membaiki jalan negeri) tetapi kegagalan Kerajaan Negeri buat keputusan melantik kontraktor bagi melaksanakannya sehingga menjadikan keadaan tidak jelas dan bercelaru.
“Tindakan itu menyusahkan rakyat sama sekali kerana mereka menanti jalan negeri yang rosak diperbaiki demi kemudahan mereka tetapi tidak dilaksanakan Kerajaan Negeri tanpa sebarang alasan atau penjelasan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan