HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 September 2011

Pilihan raya yang bezakan kerajaan dengan kongsi gelap

Lim Hong Siang


Dengan membandingkan "yuran perlindungan" yang dikutip kongsi gelap dengan "cukai" yang dipungut oleh kerajaan, pengkaji politik Wong Chin Huat mengajak peserta forum untuk berfikir, apakah sebenarnya yang membezakan antara kongsi gelap dengan kerajaan?

Wong Chin Huat (gambar kiri) memulakan dengan memetik Thomas Paine, pemikir yang menyemarakkan api perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat, bahawa "kerajaan dalam keadaan yang paling baik itu adalah kejahatan yang perlu (necessary evil); (kerajaan) dalam keadaan yang paling teruk, adalah kejahatan yang tidak boleh ditoleransi".

Beliau kemudian membandingkan keadaan ini dengan pengambilan panadol, iaitu kita memerlukan panadol ketika kita sakit; sebagaimana kita memerlukan kerajaan untuk menyekat kejahatan yang bakal dilakukan manusia sesama diri. Namun demikian, kita akan menjadi "penagih dadah", seandainya kita terlalu bergantung kepada panadol; begitu juga seandainya kerajaan dibiarkan bermaharajalela sehingga "makan diri kita", maka kita menjadi "penagih keganasan kerajaan".

Pengkaji politik ini memetik definisi "kerajaan sebagai badan yang memonopoli penggunaan keganasan yang absah", seterusnya melontarkan soalan untuk direnungi bersama - apakah perbezaan pungutan cukai daripada kerajaan dengan kutipan wang perlindungan daripada kongsi gelap?

Beliau menjelaskan bahawa sistem "semak-imbang", misalnya kuasa kehakiman, media dan masyarakat madaini wujud untuk menyekat kuasa kerajaan, tetapi keadaan ini mungkin jarang wujud dalam "kongsi gelap". Namun, terdapat juga kongsi gelap yang menyediakan mekanisme untuk menerima "aduan", seandainya wujud salahlaku yang melampaui peraturan dalam kongsi gelap itu sendiri. Justeru itu, soalan yang seterusnya adalah, apakah bezanya "kongsi gelap yang baik" (kongsi gelap yang memberi ruang untuk aduan) dengan kerajaan?

Akhirnya beliau memberi jawapan, bahawa perbezaan asas antara kerajaan dengan kongsi gelap adalah "sumber kuasanya", iaitu dari mana datangnya kuasa badan itu. Dalam konteks zaman moden ini, kuasa kerajaan datang dari pilihan raya - yang membezakan dirinya dengan kongsi gelap. Dengan kata lain, rakyat berhak mengundi untuk memilih siapa yang bakal menggunakan wang cukai mereka, tetapi tidak boleh berbuat demikian apabila berdepan dengan kongsi gelap.

"Pernahkan anda berjumpa, atau terdengar atau terbaca mana-mana gangster ataupun kongsi gelap yang menjemput anda pergi menghadiri mesyuarat agung tahunan mereka, untuk memilih ketua gangster, kerana anda telah memberikan yuran perlindungan untuk beberapa tahun? Tak pernah!"

Maka persoalan ini dilanjutkan kepada "pilihan raya", yang dikait kepada "demokrasi". Untuk Chin Huat, Malaysia adalah sebuah negara satu parti yang mempunyai pilihan raya, berbeza dengan China yang lebih jujur, iaitu kerajaan satu parti tanpa pilihan raya.

Wong berkata, kerajaan Malaysia kini berdepan dengan kebangkitan Malaysia 2.0 selepas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, yang menuntut agar demokrasi bukan sekadar pada "bentuk", namun juga "pengisiannya".

Wong berkata sedemikian dalam Forum Politik Malaysia Pasca ISA, anjuran Institut Kajian Dasar di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Kira-kira 100 orang hadir dalam forum yang dipengerusikan Amin Ahmad, dengan ahli panelnya Abdul Aziz Bari (pakar perlembagaan) dan Sivarasa Rasiah (ahli parlimen Subang), selain Wong Chin Huat. Timbalan Presiden PKR, juga ahli parlimen Gombak merangkap ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali tampil sebagai penggulung forum.

Mansuh ISA tanpa pengganti


Soalan "apakah undang-undang pengganti yang bakal digubal", dibangkitkan dalam sesi soal-jawab, memberi kesempatan ahli panel untuk mengkritik pandangan sedemikian, yang dianggap memberi alasan kepada kerajaan untuk menggubal lebih banyak undang-undang.

Abdul Aziz Bari (gambar kanan) mula dengan mengisahkan pengalamannya, bagaimana cadangannya untuk mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Univeristi (AUKU) dibalas dengan pertanyaan, apa penggantinya?

"Tak payah gantilah!" Jawapannya disambut dengan tepukan dan sorakan, malah beliau menambah bahawa perjalanan universiti padahal lebih baik sebelum AUKU digubal. Wong Chin Huat menyusul kenyataan Abdul Aziz Bari kemudian, mendakwa bahawa sesebuah masyarakat harus mengurangkan kebergantungannya terhadap undang-undang, apabila masyarakat itu semakin bertamaddun.

Beliau mengambil contoh bagaimana rakyat Jepun beratur dengan tersusun ketika menerima bantuan makanan, sungguhpun dilanda gempa bumi dan tsunami; berbanding London yang tidak ditimpa bencana, tetapi berlaku rompakan. Beliau mengambil contoh bagaimana peserta perhimpunan BERSIH 2.0 beredar dengan teratur, apabila gas pemedih dilepaskan di Hospital Tung-Shin, dan ini berlaku dalam keadaan di mana tiada undang-undang yang mewajibkan agar mereka berbuat demikian.

Sivarasa Rasiah mengambil kesempatan untuk menonjolkan perbezaan antara BN dengan Pakatan Rakyat, di mana Buku Jingga yang dijadikan dasar bersama DAP, PKR dan PAS, mencadangkan pemansuhan akta yang membenarkan penahanan tanpa bicara, tanpa mengganti dengan akta lain. Azmin Ali ketika ditanya wartawan selepas forum melabuh tirai, turut menyatakan kesediaan PR untuk berunding dengan PM dalam hal perlaksanaan pemansuhan ISA - tanpa digantikan dengan akta lain.

Baca: Perkara 149 di sebalik pemansuhan ISA

Baca: Perlaksanaan penghapusan ISA: PR sedia duduk semeja PM, Azmin

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: