SHAH ALAM – Debat tentang sejarah dan kemerdekaan negara yang bermula dengan isu Ahmad Indera atau Mat Indera kini berjangkit kepada persoalan sama ada Ibrahim Libya yang terbunuh dalam peristiwa Memali pada 1985 seorang pengkhianat atau sebaliknya.
Dalam wacana anjuran Sinar Harian hari ini persoalan dibangkitkan oleh seorang peserta yang bertanyakan soalan kepada panel yang terdiri daripada Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.
Turut menjadi ahli panel Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan pakar sejarah Profesor Datuk Dr Ramlah Adam.
Menjawab persoalan itu, Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengatakan Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim Mahmud sebagai penderhaka.
“Tentang Memali ketika itu saya sedang menuntut di Amerika Syarikat, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Menteri Pelajaran ketika itu, datang ke Amerika Syarikat dan saya adalah pengerusi forum ketika itu.
“Beliau (Anwar) mengatakan Ibrahim Libya adalah seorang penderhaka, Ibrahim Libya adalah individu yang mencetuskan suasana yang boleh menimbulkan huru-hara dan ketegangan politik,” katanya di hadapan kira-kira 500 orang.
Jelas Puad, dalam forum itu Anwar turut menuduh Ibrahim Libya sebagai pengkhianat dan tidak konsisten mempertahankan pendirian apabila keluar Umno.
“Anwar Ibrahim mengatakan dan menuduh Ibrahim Libya sebagai pengkhianat, yang berkata begitu adalah Anwar Ibrahim... saya sendiri tidak berkata demikian.
“Anwar Ibrahim kata begitu, sebab itu saya kata kita mesti konsisten dalam pendirian, jangan apabila kita tidak berada dalam Umno kita bercakap yang lain dan bila berada dalam Umno kita bercakap hal yang lain,” katanya yang mendapat ejeken daripada penonton.
Sementara itu, Saifuddin Nasution pula mengambil pendirian untuk tidak menjawab persoalan itu sebaliknya menegaskan sejarah hitam negara tidak perlu dibangkitkan semula.
“Saya baru pertama kali mendengarnya, Datuk Puad dulu pun bersama-sama saya dalam PAS... pada saya begini sejarah tetap kekal sebagai sejarah, kematian orang kampung yang membabitkan anggota keselamatan.
“... dan episod selepas itu digambarkan orang-orang kampung itu telah melakukan kesalahan, kemudian ditahan dibawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kemudian penduduk kampung mencabar di mahkamah yang prosesnya memakan masa berbelas tahun akhirnya kes ini diselesaikan di luar mahkamah dengan kerajaan bersetuju memberi pampasan kepada keluarga mangsa Memali,” katanya.
Kata Ahli Parlimen Machang ini, beliau tidak mahu menuduh siapa yang salah dalam peristiwa berdarah itu dan tidak mahu terjebak dalam polemik terbaru.
“Pendirian yang tepat kita tidak mahu episod begini berulang, saya tidak akan membawa diri ke dalam polemik tuduh-menuduh kerana fakta-fakta ini memerlukan kepastian kerana yang lebih baik untuk kita katakan ia adalah satu tragedi hitam dalam sejarah politik negara.
“Kita tidak mahu mencari siapa salah, ia adalah satu episod hitam dalam sejarah negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan