KENINGAU: Penduduk Kampung Rancangan Biah merasa kesal dan terkilan dengan pembubaran kawasan tanah perkampungan yang statusnya ‘Tanah Rancangan” yang sepatutnya diberikan kepada penduduk tetapi kini diterokai oleh individu.
Jurucakap penduduk Roger Lawas berkata, kawasan berkenaan kini diterokai oleh individu yang dikatakan bekas pekerja Jabatan Tanah Dan Ukur di daerah ini.
Menurut Roger, penduduk telah pun membuat aduan kepada Jabatan Tanah Dan Ukur Bahagian Keningau tetapi sehingga kini belum ada penyelesaian.
“Malah individu itu pula menuduh kami menceroboh tanah tersebut,” kata Roger kepada New Sabah Times di sini kelmarin.
Sebelum ini kata Roger, mereka diberi makluman bahawa kawasan berkenaan tidak boleh diterokai oleh mana-mana pihak termasuk penduduk Kg. Rancangan ini kecuali dengan kebenaran Kerajaan.
“Kami yang sudah menetap di Kampung Rancangan ini sejak tahun 1969 lagi merasa kesal dan tidak puas hati dengan tindakan individu itu yang bukan sahaja membuka tanah itu tetapi mengarah kami merobohkan rumah-rumah yang sedia ada dengan sewenang-wenangnya,” jelas Roger.
Sebagai peneroka di Rancangan Penempatan ini katanya, penduduk bersandar kepada hasil tanaman seperti getah dan sawit.
“Tetapi jika tanah Rancangan Penempatan ini dimonopoli orang lain yang bukan penduduk di sini apa lagi yang diharapkan,” kata Roger.
Justeru itu katanya, penduduk Rancangan Penempatan memohon supaya pihak yang berkenaan segera membantu menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin dan membatalkan permohonan tanah oleh individu berkenaan kerana Tanah Rancangan ini adalah hak asasi penduduk.
Seorang penduduk Kolong Matie 70, berkata, beliau kesal dengan tindakan individu itu tidak menolak dengan sewenang-wenang pokok buahbuahannya yang ditanam di kawasan itu.
Katanya, sepatutnya kawasan itu wajar diberikan kepada penduduk untuk anak-anak muda di kampung ini yang rata-rata belum mempunyai tanah.
Kolong berkata, hanya generasi yang terdahulu yang memiliki lot tanah di Rancangan Penempatan ini.
Seorang lagi penduduk Ikok Kahi sependapat dengan Kolong berkata, beliau sendiri belum memiliki tanah.
“Hanya bapa kami yang ada tanah tetepi ia tidak cukup diagihkan kepada kami adik-beradik,” katanya.
Tetapi katanya, kawasan yang dikatakan untuk generasi muda di Rancangan Penempatan ini yang kami harap-harapkan kini sudah dimiliki oleh orang lain.
Menurut Ikok Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sook yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Ellron Alfred Angin sudah campur tangan menyelasai masalah itu tetapi individu yang terbabit enggan memberi kerjasama apabila dipanggil untuk membincangnya di Pejabat Tanah Dan Ukur Daerah.
“Harapan terakhir kami adalah meminta pihak atasan yang bertanggungjawab dan yang lebih arif dengan pengwujudan Rancangan Penempatan Biah tampil untuk membantu menyelasai masalah ini,” kata Ikok.-nst-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan