HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2011

Ali Rustam burukkan Kelantan macam mana?

Ahmad Danial


MELAKA: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari (gambar) mempersoalkan tindakan polis mahu bertindak terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan memburuk-burukkan negeri Johor.

Beliau melontarkan pertanyaan itu kerana Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah memburukkan Kelantan sebelum ini.

"Macam mana pula orang Kelantan dengan Ali Rustam, apa yang Ali Rustam tak cakap tentang Kelantan. Dalam dan luar sidang Dun, sentiasa Kelantan diburukkan.

"Beliau pernah melarang pegawai kerajaan pergi Kelantan. Pernah beliau menarik balik larangan itu?"

"Di Melaka orang buang anak, di Kelantan orang buang anak dan dibakar anak itu, itu antara ucapan Ketua Menteri dalam sidang Dun," ujar Adly yang juga Yang Dipertua PAS Alor Gajah di dalam blognya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis sedang mempertimbangkan tindakan yang boleh dikenakan ke atas Lim Guan Eng ekoran kenyataannya memburukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, beberapa laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu dan pihaknya akan mengenal pasti tindakan yang boleh diambil memandangkan kenyataan itu dibuat di luar negara.

Beliau yang nyata berang dengan keceluparan Guan Eng, turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu tidak boleh diterima, berniat jahat, tidak berasas dan tidak benar sekali gus mengingatkan pemimpin DAP itu tidak bercakap sesuka hati. (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm)

Menurut Adly, kalau polis Johor hendak bertindak terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, maka Ketua Polis Kelantan juga wajar bertindak terhadap Ali Rustam.

Beliau mempersoalkan mengapa polis mahu bertindak terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang yang dituduh memburukkan Johor tetapi mendiamkan diri terhadap tindakan Ketua Menteri Melaka yang acapkali memburukkan negeri Kelantan.

"Burukkan Johor bertindak, burukkan Kelantan tak apa, 1Malaysia apa?” soal Adly sinis.

Adly berkata rakyat Johor sedang dihasut agar membenci Lim Guan Eng kerana dianggap menjatuhkan imej Johor.

"Menjatuhkan imej Johor di luar negara. Johor selamat, YAB Lim kata tak selamat?

"Sedangkan secara faktanya Pulau Pinang paling selamat di Malaysia dengan indek jenayah 27%," katanya.

Tiada ulasan: