HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2011

Mata lebam Anwar: 29 Sept detik hitam sejarah negara


Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Tanggal 29 September 2008 genap 13 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul di mahkamah dengan mata lebam akibat dibelasah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Tarikh itu menyaksikan institusi Polis Di Raja Malaysia (PDRM) diperkudakan bagi memenuhi konspirasi peringkat tertinggi, termasuk badan kehakiman untuk memenjarakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.


Tragedi mata lebam Anwar merupakan detik hitam pada era pemerintahan diktator Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merencanakan satu konspirasi untuk menjatuhkan timbalannya itu dengan fitnah seks dan salahgunakuasa.

Ketika Anwar muncul di mahkamah dengan mata lebam selepas ditangkap polis pada malam 20 September 1998, Mahathir menuduh Anwar memukul dan mencederakan dirinya sendiri.

Namun kes berkenaan mendapat liputan meluas antarabangsa dan desakan berterusan mengheret Rahim ke penjara serta dipecat dari jawatannya sebagai ketua nombor satu dalam PDRM.

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, sejak tragedi penangkapan Anwar dan insiden mata lebam itu, imej polis terus menjunam dan sehingga kini ia tidak berjaya dipulihkan.

“Kalau orang tulis tentang sejarah polis, 29 September merupakan titik hitam sejarah polis kerana pada masa itu kredibiliti mereka menjunam, sehingga lah sekarang,” kata beliau.

Tahun 1998 katanya merupakan tarikh keramat perjuangan menuntut reformasi, menyaksikan kebangkitan rakyat segenap lapisan, terutama golongan muda menentang pemerintahan diktator Mahathir.

“Kempen secara terbuka banyak dilakukan tentang perjuangan hak asasi dalam menentang undang-undang yang zalim. Peristiwa mata lebam secara langsung memberi kekuatan kepada rakyat untuk terus berjuang,” kata beliau.


Rafizi merupakan pengendali laman web Free Anwar Campaign- sebuah laman yang aktif pada era reformasi mendesak pembebasan Anwar- ketika semua media dikawal ketat oleh pemerintah.

Sejak itu katanya, rakyat mula sedar tentang makna demokrasi, kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan kebebasan media.

“Selepas peristiwa mata lebam Anwar, informasi di internet bercambah dengan cepat dan mendapat tempat, termasuk laman-laman web reformasi yang menjadi perintis kepada blog sekarang,”

“Selama 50 tahun, tiada orang mengambil berat tentang kebebasan media, namun rakyat sedar akan penipuan (media) dan sampai sekarang kredibiliti media telah jatuh. Beberapa pihak mengasaskan media alternatif seperti Malaysiakini,” katanya.

Katanya lagi, peristiwa pemecatan Anwar sehingga dipenjarakan kemudian telah menyatukan NGO seperti Adil dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional pada 4 April 1999.

“Dan dari situ tertubuh Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) dan wujud satu pakatan alternatif antara parti pembangkang yang menentang Umno-BN dan terbentuklah Pakatan Rakyat seperti sekarang,” katanya.

Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Mat Zain Ibrahim sebelum ini mengesahkan bukti-bukti yang digunakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah ’98 dipalsukan.

Mat Zain, pegawai yang menyiasat insiden mata lebam Anwar itu membuat pendedahan itu dalam surat-surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Beliau mengesahkan pemalsuan bukti itu dilakukan pegawai penyiasat polis pada masa itu, Tan Sri Musa Hassan dan ketua pasukan pendakwa raya, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Anwar kini berdepan satu lagi konspirasi kedua, yang diteruskan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak dengan menggunakan skrip hampir sama pada 1998.

Pada hari ini juga, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memohon mengenepikan sepina ke atas mereka, supaya hadir sebagai saksi dalam kes berkenaan.

Tiada ulasan: