HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 September 2011

PM: Melayu usah ambil hak orang lain, tapi guna kuasa politik

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu bangsa Melayu abad ke-21 tidak berlindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Sebaliknya, beliau berkata bangsa Melayu abad ini perlu mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk mencapai hasrat tersebut.

“Kalau kita hendak menjadi bangsa yang bermaruah dan terhormat kita tidak boleh berselindung dengan kerajaan tetapi mesti ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

“Ciri-ciri Melayu abad ke-21 yang berjaya bukan dilindungi tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam. Inilah perubahan yang mesti ada,” katanya (gambar) dipetik Bernama Online.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di sini malam ini.

MTEM merupakan platform untuk badan-badan bukan kerajaan (NGOs) ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara.

Najib berkata cabaran pada abad ke-21 amat hebat, justeru bangsa Melayu perlu bersedia menghadapi segala perubahan dan persiapan yang secukupnya.

Beliau berkata bangsa Melayu perlu menjalin kerjasama dengan kerajaan kerana masa depan mereka juga berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sedia ada.

“Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak orang lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.

“Sebagai contoh apabila kita melaksanakan projek MRT, kita memutuskan 43 peratus daripada projek ini diberikan kepada usahawan dan syarikat bumiputera. Jadi kita tidak ambil hak orang lain,” kata Presiden Umno ini.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan bangsa Melayu dapat diketengahkan dengan lebih jelas.

“Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang akan bertindak sebagai barisan hadapan dalam menuntut apa yang perlu bangsa Melayu miliki,” katanya.

Tiada ulasan: