HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 September 2011

Seperti Beng Hock, pembunuh Sarbaini dilindungi?- Shamsul

Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Keputusan mahkamah koroner bahawa Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed jatuh sendiri dari Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sukar diterima.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata demikian mengulas penghakiman Aizatul Akmal Maharani, yang menolak unsur bunuh diri, homisid mahupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian allahyarham.

Katanya, kes-kes kematian yang berlaku ketika dalam tahanan SPRM seolah-olah dilindungi punca kematiannya seperti kematian Teoh Beng Hock pada Julai 2009.

“Kes ini tidak ada beza dengan Teoh Beng Hock dan kini seolah-olah setiap kematian yang membabitkan pegawai SPRM seperti dilindungi. Ini kerana kita harus ingat dalam penghujahan peguam, dan keluarga si mati, tidak ada bukti arwah terlibat dalam korupsi,” katanya.

Menurutnya, tidak ada sebab untuk allahyarham terjun dari bangunan itu, malah beliau mempertikai mengapa sistem litar tertutup CCTV SPRM dipadamkan ketika inkues berjalan.

“Jangan biar rakyat hilang keyakinan dalam sistem kehakiman. Ini merupakan satu hari malang rakyat malaysia kerana kita lihat kesimpulan mudah dibuat iaitu seolah kemalangan di dalam pejabat dan tiada unsur jenayah,” kata beliau.

Antara penemuan penting inkues itu adalah bahawa sistem litar tertutup CCTV SPRM didapati diganggu dengan 22 jam rakaman termasuk tempoh Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu yang telah dipadamkan.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane 6 April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kenalan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya memandangkan Ahmad Sarbaini seorang pegawai yang bersih dan telah merancang menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Tiada ulasan: