"Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh Umno yang masih menghalang hasrat kami," kata Menteri Besar Kelantan itu.
PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap menerima baik keputusan Pakatan Rakyat semalam walaupun pelaksanaan hukum hudud tidak akan dilaksanakan selagi tiada kata sepakat dicapai.
Beliau berkata pihaknya menghargai pendirian Pakatan yang menghormati hak dan kehendak PAS untuk melaksana hudud seperti yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993.
“Saya dimaklumkan keputusan pimpinan Pakatan Rakyat semalam yang menghormati hasrat Kelantan untuk memasukkan hukum hudud didalam undang-undang syariah.
“Alhamdulillah saya menerima baik dan bersyukur kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia tidak menyentuh (masyarakat) bukan Islam.
“Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh Umno yang masih menghalang hasrat kami,” kata Menteri Besar Kelantan dalam kenyataan melalui laman sosial facebook miliknya pagi tadi.
Menteri Besar itu turut menyeru masyarakat bukan Islam supaya tidak perlu gentar dengan hudud dan memberi jaminan ia hanya akan dilaksanakan dengan telus terhadap masyarakat beragama Islam di Kelantan sahaja.
“Saya harap masyarakat bukan Islam tidak takut dengan hukum hudud hanya kerana salah faham, tidak dapat memahami konsep sebenar atau sesuatu yang menyebabkan anda tidak tahu atau kurang pasti,” katanya dalam kenyataan berasingan awal pagi semalam.
Pakatan dalam mesyuarat malam semalam berpendirian tiada kata putus tentang pelaksanaan hukum hudud seperti yang dihasratkan PAS selagi tiada persetujuan sebulat suara oleh DAP dan PKR.
Ini kerana PAS masih terikat dengan dasar bersama Pakatan yang dipersetujui dalam Buku Jingga selain peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat Pakatan malam tadi dihadiri beberapa pemimpin tertinggi termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Karpal Singh serta Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan