HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 September 2011

Lambakan siswazah bukan kerana kurang pekerjaan

Kekurangan kemahiran seperti komunikasi, nilai diri dan keyakinan menyebabkan masih ramai lepasan IPT gagal mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.



SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menafikan lambakan siswazah di negeri itu adalah disebabkan berlakunya kekurangan pekerjaan kepada golongan muda.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ini memandangkan statistik terkini menunjukkan kira-kira 35,000 peluang pekerjaan ditawarkan daripada pelbagai sektor di negeri tersebut.

Abdul Khalid berkata walaupun peluang pekerjaan yang ditawarkan bukan hanya untuk golongan siswazah, namun golongan muda perlu merebut peluang terutama dalam sektor perkilangan.

“Di Selangor saja terdapat banyak institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan begitu juga dengan Universiti Malaya (UM) yang turut berada di Lembah Klang.

“Setiap tahun kesemua IPT ini mengeluarkan tidak kurang 30,000 graduan dan jumlah ini boleh dikatakan cukup ramai.

Walaupun peluang pekerjaan yang ditawarkan tidak semuanya untuk golongan siswazah, tetapi golongan muda perlu merebut peluang yang ada terutama di sektor perkilangan,” katanya selepas merasmikan program ‘Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor’ anjuran Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPSB) di sini pagi tadi.

Ujar Abdul Khalid, kekurangan kemahiran seperti komunikasi, nilai diri dan keyakinan menyebabkan masih ramai lepasan IPT gagal mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian.

“Sebab itu kita galakkan lepasan siswazah meningkat kemahiran diri dalam pelbagai perkara. Namun, pada saya peningkatan kemahiran diri ini bukan saja untuk siswazah tetapi juga mereka yang sudah pun bekerja.

“Mungkin dengan kemahiran diri yang baru mereka boleh menukar kepada kerja yang lebih baik atau yang mereka minati kerana kadang-kadang berlaku keadaan seseorang itu bekerja dalam bidang yang bukan mereka minati,” katanya.

Tiada ulasan: