KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat akan menghormati sebarang keputusan berhubung isu Hudud yang akan diputuskan pimpinan tertinggi parti itu pada Rabu ini.
Demikian ditegaskan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan.
“Pemuda Pakatan Rakyat menyambut baik kenyataan dan kesepakatan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat melalui Setiausaha-setiausaha Agung parti-parti komponen KEADILAN, Pas dan Dap dalam isu hudud yang kembali dihangatkan mutakhir ini.
“Kesepakatan agar semua pimpinan ketiga-tiga parti diarah tidak mengeluarkan kenyataan sehingga Kepimpinan Pakatan Rakyat bersidang pada 28 September dengan jelas sekali merupakan satu tindakan proaktif yang bijak agar para pemimpin kembali fokus kepada agenda memperjuangkan hak rakyat.
“Pemuda Pakatan berpandangan ia wajar dihormati tanpa kompromi,” ujar mereka dalam kenyataan itu.
Menurutnya, ia sekaligus menjadi satu ingatan kepada Pakatan Rakyat agar kembali fokus kepada isu kemaslahatan rakyat sebagai agenda utama.
“PRU-12 2008 menyaksikan rakyat memberikan harapan kepada Pakatan Rakyat. Dan ini sewajarnya tidak boleh disia-siakan sewenangnya dalam situasi genting menghadapi PRU-13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sebaik sahaja Perdana Menteri mendapat ilham,” ujarnya.
Dalam masa yang sama Pemuda Pakatan mengutuk tindakan Umno-BN melalui media khususnya Utusan Malaysia yang bersungguh mempolemikkan isu itu ketika Pakatan Rakyat dilihat semakin hampir ke Putrajaya.
“Pengalaman mendewasakan. Dan ini harus menyemat satu tekad di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat agar mengekalkan fokus untuk menjulang agenda rakyat dengan menjatuhkan Umno-BN di dalam PRU-13 akan datang.
Justeru itu, Pemuda Pakatan percaya kebijaksanaan pimpinan Pakatan untuk menyelesaikan polemik ini dalam suasana muhibah.
“Yang nyata ia sangat berbeza dengan Umno-BN yang tidak membuka ruang perbezaan pendapat hatta di kalangan kelompok parti gabungan mereka sendiri.
“Kapal mereka sedang bersedia untuk karam, maka Pakatan Rakyat harus mempersiapkan diri menjadi kemudi baru rakyat Malaysia. Untuk merealisasikan hasrat rakyat ini, pastinya, ia menuntut kebijaksanaan menyelesai masalah secara hikmah,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan