Beliau berkata pada masa ini, kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan bagi menggubal Rang Undang-Undang Umur Persaraan Minimum Swasta.
"Had umur sehingga 64 tahun adalah pandangan MTUC. Ia belum dipersetujui oleh kerajaan. Mereka telah kemukakan pelbagai cadangan tetapi akhirnya keputusan akan dibuat dengan mengambil kira pandangan semua pihak.
"Proses untuk menggubal akta itu sudah mula dibuat dan kita harap ia boleh diselesaikan segera seterusnya boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada Bernama di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.
Subramaniam berkata rang undang-undang itu digubal kerana berpendapat bahawa had umur persaraan pada 55 tahun sudah tidak relevan sekarang memandangkan rakyat Malaysia kini lebih sihat dan masih mampu bekerja pada usia tersebut.
"Mereka bersara pada umur 55 tahun, tetapi pada umur itu mereka masih sihat, cerdas dan boleh bekerja. Usia pekerja-pekerja di Malaysia kini lebih panjang berbanding pada masa dulu," katanya.
Beliau berkata kenaikan had umur persaraan juga dapat membantu jaringan sosial dan kebajikan pekerja di mana mereka mampu memperolehi pendapatan pada usia tua selain menambah caruman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk masa depan mereka.
"Kalau golongan pertengahan dan bawahan, caruman mereka di KWSP tidak mencukupi untuk jangka masa panjang. Bila mereka sudah bersara pada usia 55 tahun ada yang masih mencari kerja.
"Sebab itu perlu ada perubahan bahawa rakyat akan kerja lebih lama dan diberi gaji lebih lama untuk pastikan mereka dapat pendapatan untuk tanggung keperluan mereka," katanya.
Gaji minimum
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata kerajaan menyasarkan agar pelaksanaan gaji minimum sektor swasta dapat dilaksanakan pada awal tahun depan setelah anggota Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan dilantik dan mula bermesyuarat esok.
"Pengumuman mengenai gaji minimum akan dibuat sebelum hujung tahun ini dan mungkin sedikit masa diperlukan untuk majlis membuat persiapan, mungkin awal tahun depan dapat kita laksanakan," katanya.
Beliau berkata seramai 25 orang akan dilantik menganggotai Majlis itu yang terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi serta setiausaha, masing-masing lima wakil dari pihak kerajaan dan bebas serta masing-masing enam wakil dari wakil pekerja yang dicadangkan MTUC dan wakil majikan yang dicadangkan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Lima wakil kerajaan ialah dari Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Perancang Ekonomi manakala wakil bebas terdiri daripada pihak badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta institusi yang mempunyai kaitan dengan pekerja dan gaji.
"Mereka akan diberi tanggungjawab untuk mengkaji gaji minimum dan cadangan itu akan disampaikan kepada kementerian sebelum diteliti oleh kerajaan.
“Sekiranya semua pihak setuju kita akan umumkan dan jadikan ia gaji minimum kebangsaan," kata Subramaniam.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan