HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2011

Zahid tuntut tentera Burundi bayar pampasan

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR — Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuntut pampasan sewajarnya daripada tentera Burundi berikutan penglibatan tentera mereka dalam insiden tembakan yang menyebabkan kematian jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd Nor pada 2 September lalu.

Zahid (gambar) berkata pampasan itu penting sebagai pengajaran dan iktibar kepada pihak lain.

Noramfaizul, 39, terbunuh setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Semalam, Kementerian Luar Malaysia berharap empat anggota tentera Burundi terlibat dalam insiden tembakan menyebabkan kematian Noramfaizul dikenakan tindakan sewajarnya.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (Amisom) secara rasminya telah menyempurnakan siasatan penuh terhadap empat tertuduh, yang sebelum ini dikatakan menembak dan menyebabkan kematian Allahyarham dan mencederakan Ajis Saregar Mazlan, wartawan TV3.

“Dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Amisom, Kementerian Luar akan terus mengikuti perkembangan ini sehingga keempat-empat tentera Burundi yang terlibat, diadili dan dihukumi mengikut undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Kelmarin, Amisom memohon maaf terhadap kejadian itu dan melucutkan mereka yang terlibat daripada menjalankan tugas pasukan pengaman dan akan dihantar pulang ke Burundi untuk dibicarakan.

Laporan Reuters kelmarin menyebut, pasukan pengaman yang berkhidmat di ibu negara Somalia mengakui bahawa askarnya secara tidak sengaja menembak mati Noramfaizul dan Ajis Saregar.

Lembaga Siasatan menunjukkan empat askar terlibat dalam serangan itu dan sudah digantung tugas.

Mengulas lanjut, Zahid berkata Kabinet telah memutuskan pengamal media yang ingin bertugas di zon bencana dan perang perlu menjalani latihan bersama Media Askar Wataniah Kementerian Pertahanan untuk persiapan fizikal dan mental.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu diambil kira dan penting untuk tujuan keselamatan pengamal-pengamal media menempuh pelbagai cabaran dalam menjalankan tugas.

“Hanya selepas selesai atau telah menjalani latihan barulah mereka dibenarkan turut serta mengikuti mana-mana misi kemanusiaan atau tugas di kawasan bencana,” katanya dalam laporan dipetik Bernama Online.

Jelas Zahid, Kementerian Pertahanan menyeru mana-mana agensi dan syarikat media menjalani latihan untuk menghantar pengamal media bagi menyiapsiagakan diri mereka dengan latihan keselamatan yang berguna untuk mereka.

Beliau turut menyarankan agar misi bantuan kemanusian atau tugasan di zon bencana dan perang dibekalkan dengan peralatan yang mempunyai tahap keselamatan tinggi seperti pemakaian jaket keselamatan dan jaket kalis peluru.

“Apabila pengamal media menjalani latihan bersama kementerian kami, kelak mereka akan sedar betapa pentingnya aspek keselamatan diutamakan dan didahulukan daripada tugas,” katanya.