HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 September 2011

Tambah beban rakyat jika laksana GST

Dalam keadaan inflasi yang masih tinggi secara berterusan, pelaksanaan GST dalam masa terdekat dijangka akan menambah bebanan sara hidup rakyat.



PETALING JAYA: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara besar yang membawa kesan mendalam kepada rakyat.

Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli berkata, dalam keadaan inflasi yang masih tinggi secara berterusan, pelaksanaan GST dalam masa terdekat dijangka akan menambah bebanan sara hidup rakyat.

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berhubung perkara ini sebelum ini adalah samar-samar.

“Pada masa beliau terus menyatakan komitmen untuk melaksanakan GST, beliau tidak pula menetapkan tarikh pelaksanaan GST.

“Walaupun BN mengumumkan satu lagi tumpuan keberhasilan negara iaitu untuk mengurangkan kos sara hidup, sehingga sekarang

Najib tidak menghuraikan pelan pelaksanaan GST walaupun ia akan mempunyai kesan besar kepada kos sara hidup,” terang beliau.

Oleh yang demikian katanya, PKR menyeru BN supaya menjelaskan pendiriannya mengenai pelaksanaan GST termasuklah tarikh pelaksanaan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) diadakan, untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang telus dan tepat.

Menurut Rafizi, di kebanyakan negara-negara yang telah melaksanakan GST, isu ini telah dibawa menjadi isu utama pilihan raya dan keputusan pilihan raya menjadi referendum sama ada rakyat mempersetujui pelaksanaan GST atau tidak.

“Sewajarnya PRU 13 juga digunakan sebagai referendum kepada GST untuk mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru ini,” katanya.

Ujar beliau, “pendirian PKR mengenai GST adalah jelas. PKR tidak menolak GST sebagai satu kaedah percukaian, tetapi mempertikaikan kesesuaian pelaksanaannya pada ketika hanya 1.7 juta rakyat Malaysia dianggarkan layak membayar cukai pendapatan.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong di dalam kategori yang dikecualikan dari membayar cukai pendapatan kerana gaji yang rendah.

GST ganti cukai pendapatan

Katanya lagi, di negara-negara yang telah melaksanakan GST, cukai ini diperkenalkan sebagai ganti kepada cukai pendapatan.

Beliau berkata, kadar cukai pendapatan diturunkan serta merta apabila GST diperkenalkan, lantas rakyat tidak mengalami bebanan cukai tambahan kerana sumbangan cukai dari rakyat hanya dialihkan dari cukai pendapatan kepada GST.

Sekiranya GST dilaksanakan di Malaysia dalam masa terdekat, 10 juta rakyat Malaysia yang selama ini tidak layak membayar cukai terpaksa menanggung bebanan cukai baru.

“Ini akan menambah beban mereka yang terpaksa berdepan dengan persoalan gaji yang rendah, inflasi yang meningkat dan bebanan cukai yang baru,” jelas beliau.

Oleh sebab itu katanya, PKR berpandangan bahawa tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha-usaha melonjakkan pendapatan rakyat melalui campur tangan terus kerajaan.

“Apabila taraf pendapatan rakyat telah dilonjakkan, barulah saiz kumpulan pembayar cukai dapat dibesarkan dan memberi ruang untuk GST dilaksanakan,” terangnya.

Beliau berkata, pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia dan sewajarnya menjadi isu besar pada PRU 13.

“Rakyat berhak mendapat pengesahan dari Perdana Menteri sama ada dengan mengundi BN dalam PRU 13, adakah itu bermakna mereka juga turut mengundi untuk membayar cukai baru?,” soal beliau.

Tiada ulasan: