HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 September 2011

Tragedi Memali, Hentikan Budaya Tuduh Menuduh: Saifuddin

SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution mahu budaya politik tuduh-menuduh antara satu sama lain berhubung apa jua kenyataan yang dikeluarkan berkaitan tragedi Memali pada 1985 dihentikan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melabelkan pemimpin PAS, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya sebagai pemberontak dan penderhaka.

"Kita tidak mahu mencari siapa salah. Itu sikap yang wajar kita ambil sekarang ini. Bagi saya peristiwa Memali kekal sebagai episod hitam dalam sejarah politik di negara ini," katanya pada sidang media selepas Wacana Sinar Harian di sini, Selasa.

Menurut Saifuddin, beliau tidak mahu terlibat dalam polemik tuduh-menuduh kerana fakta itu memerlukan pengesahan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berharap agar insiden berdarah yang membabitkan kehilangan nyawa itu tidak berulang kembali.

"Kita tidak mahu episod ini berulang lagi. Ia dilihat mampu memberikan kesan buruk kepada kehidupan dan keharmonian masyarakat," ujarnya.

Tragedi Memali pada 1985 menyaksikan 14 orang terbunuh ketika bangkit menentang lebih 3,000 anggota polis yang cuba menahan Ibrahim yang merupakan orang kuat PAS dan 35 pengikutnya di bawah Akta ISA 1960.

Mereka didakwa disyaki terlibat dalam kegiatan yang menggugat keselamatan negara.

Tiada ulasan: