HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 September 2011

Anak mahu Isa Samad jelaskan cagaran tanah Felda

Oleh: Ahmad Fadli


KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mahu Tan Sri Isa Samad menjelaskan cagaran tanah Felda Plantation selama 60 tahun kepada Kumpulan Felda, Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Menurut Mazlan, cagaran 360 ribu hektar tanah itu diragui kerana ia dilakukan tanpa kehadiran Pengurus Besar Felda Plantation, Dato’ Dzulkifli Abdul Wahab yang menunaikan umrah sewaktu ia dibuat, 25 Ogos lalu.


“Penjelasan mesti dibuat Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad kenapa tanah Felda Plantation mesti dijadikan cagaran?

“Pengurus Besar dikatakan tidak dimaklumi apa-apa sebelum cadangan tersebut dibawa dalam Lembaga Pengarah; manakala Lembaga Pengarah pula bersetuju kerana mungkin atas sebab-sebab yang tidak dapat difahami secara umum kerana sebahagian daripada Lembaga Pengarah adalah orang politik,” ujarnya

Menurut Mazlan, Felda Global sebelum ini mempunyai masalah pelaburan menerusi Felda Iffico Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT Etgo Canada, Felda Global Ventures Middle East dan Felda Global Ventures Arabia.

Kesemuanya mencatat kerugian terkumpul dari tahun 1997 hingga tahun 2010 hampir RM500 juta seperti didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Mazlan, keputusan Lembaga Pengarah Felda itu mendedahkan Felda Plantation kepada risiko sekiranya FGVH terus mengalami kerugian pelaburan di peringkat antarabangsa.

Malah, ia juga dikhuatiri akan mengalih perhatian Felda daripada perniagaan utamanya menguruskan perladangan di dalam negara kepada instrumen pelaburan di luar negara.

Beliau juga turut mempertikaikan pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Peneroka Felda (KPF) kerana beliau tidak langsung memenuhi syarat-syarat sebagai anggota KPF.

“Isa Samad bukan ahli koperasi kerana beliau bukan peneroka, kakitangan kumpulan Felda, mahupun isteri atau anak kepada peneroka yang menjadi ahli berdaftar koperasi. Boleh semak daripada 186,268 ahli, namanya tiada,” kata Mazlan.

Beliau seterusnya mempersoalkan samada pelantikan Isa Samad sebelum ini bagi membolehkan aset KPF bernilai RM1.7 bilion dipindahkan kepada FGVH.

“Adakah pelantikan beliau melalui ‘pintu belakang’ bagi membolehkan ekuiti KPF bernilai RM398.32 juta iaitu sebanyak 51 peratus dalam Felda Holding dibawa masuk ke FGVH?” tanya Mazlan.

Tiada ulasan: