HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2011

Pakatan: Tiada kata putus untuk laksana hudud

Salhan K Ahmad


Cadangan PAS untuk melaksana undang-undang hudud ke atas orang Islam di Kelantan masih belum dapat diputuskan oleh majlis pimpinan Pakatan Rakyat walaupun hangat dibincangkan dalam mesyuaratnya malam ini.

Bagaimanapun, ketua umum Pakatan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis pimpinan itu menghormati niat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang berkenaan.

hudud, pakatan meetingMajlis itu juga menghormati pendirian DAP yang menentang keras cadangan berkenaan, kata Anwar kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibupejabat PAS, Kuala Lumpur.

Kesepakatan yang berjaya dicapai dalam mesyuarat selama tiga jam, lewat malam ini, hanyalah berhubung kesepakatan untuk PAS dan DAP meneruskan perbincangan bagi melaksanakan hukum hudud dan juga mempertahankan dasar-dasar bersama.

"Pendiriannya jelas bahawa DAP menentang (cadangan melaksana hudud) dan PKR serta PAS menghormatinya.

"Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah," katanya lagi.

Jelasnya, Pakatan jelas menghormati hak dan kehendak PAS untuk melaksana hudud, namun parti Islam itu masih terikat dengan dasar bersama yang dipersetujui serta manifesto dalam Buku Jingga.

"Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003," tambahnya.

Malah, kedua-dua enakmen tersebut dibentuk oleh dua negeri berkenaan ketika PAS, DAP dan PKR masih belum membentuk Pakatan, katanya lagi.

Namun, terdapat keperluan untuk merujuk perkara itu ke majlis pimpinan Pakatan Rakyat kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan, tambahnya.

Bagaimanapun, ditanya sekiranya Pakatan akan meminda perlembagaan bagi usaha itu seandainya ia berjaya membentuk kerajaan persekutuan, Anwar berkata tiada persetujuan bersama dicapai.

Katanya lagi, mesyuarat juga telah menerima penjelasan berhubung pendirian Kelantan dalam isu berkenaan yang disampaikan anggota exconya, Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili menteri besar.

Turut hadir penasihat DAP, Lim Kit Siang; pengerusi DAP, Karpal Singh; presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tiada ulasan: