JOHOR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa 30 peratus kuota bumiputera akan dihapuskan, hanya untuk memancing undi bukan Melayu, kata Naib Presiden KEADILAN, Chua Jui Meng.
Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai satu retorik bagi menagih undi kaum Cina dan India menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
“Ini tidak boleh dipercayai, bila dia akan laksanakan? Dia (Najib) hanya nak tarik undi bukan melayu saja. Ini hanya cakap saja tapi bila diperingkat perlaksanaan tiada tindakan,” ujarnya.
Menurut Jui Meng, isu kuota bumiputera sebenarnya tidak menguntungkan golongan Melayu yang masih miskin dan ketinggalan dari sudut ekonomi, sebaliknya hanya mengutamakan kroni Umno.
“30 peratus ini sebenarnya tidak menguntungkan orang miskin malah rakyat ditipu dan Dasar Ekonomi Baru selama ini dirampas oleh segelintir orang Melayu dan dasar tersebut tidak sampai ke peringkat bawahan.
“Malah orang Melayu kebanyakannya masih lagi termiskin termasuk Cina dan India,” kata Jui Meng.
Katanya, DEB yang dilaksanakan pada 1970 bermatlamat untuk membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, namun sehingga kini ia masih gagal mencapai matlamatnya.
“Pakatan Rakyat mempunyai pendekatan yang lebih baik. Sebagai contoh Buku Jingga mencadangkan pendapatan isi rumah RM1,500 kepada RM4,000 dalam jangkamasa 5 tahun,” katanya kepada Keadilandaily.
Najib sebelum ini mengumumkan hasrat kerajaan untuk meliberalisasikan ekonomi dari kuota berasaskan kaum melalui Model Ekonomi Baru (MEB), tetapi disanggah oleh kumpulan-kumpulan berkepentingan kaum.
MEB tersebut yang diumumkan pada Mac 2010 mencedok idea Agenda Ekonomi Malaysia yang diperkenalkan Pakatan Rakyat, diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan