HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 September 2011

Rugi RM500 juta tetapi diserahkan tanah Felda Plantation

KUALA LUMPUR - Ketika Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGVH) dikritik hebat kerana kerugian terkumpul sehingga RM500 juta, langkah Lembaga Pengarah Felda mencagarkan keseluruhan tanah Felda Plantation kepadanya menimbulkan tandatanya.

Tanda tanya juga timbul, kenapa Felda membuat keputusan itu ketika Pakatan Rakyat berjanji mahu mengagihkan tanah Felda Plantation untuk generasi kedua Felda.

Semalam Harakahdaily mendedahkan keputusan Lembaga Pengarah Felda mencagarkan 360,000 hektar tanah Felda Plantation kepada FGVH.

Mesyuarat memutuskan perkara itu dibuat ketika Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahad tidak menyertai mesyuarat itu.

Ini membawa kepada kesimpulan bahawa keputusan ini dibuat oleh orang politik semata-mata dan untuk menjaga kepentingan politik mereka bukan kakitangan, organisasi atau peneroka Felda itu sendiri.

Keputusan itu sekaligus membawa kepada jawapan kenapa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bermati-matian menyanggah jaminan Pakatan Rakyat untuk mengagihkan 360, 000 hektar tanah Felda Plantation itu kepada peneroka.

Ketika Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) melancarkan borang tanah Felda Plantation yang mendapat sambutan di luar jangkaan daripada peneroka, kerajaan BN melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap usaha yang termasuk dalam janji 100 hari Buku Jingga Pakatan Rakyat itu.

Ahmad Maslan dalam hujahnya berkata, jika terdapat 1.6 juta generasi baru Felda, setiap orang hanya akan mendapat 0.002 ekar sahaja dan meramalkan Felda akan bankrap jika tanah tersebut diagihkan kepada rakyat.

Namun Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata (gambar) , di sebalik cemuhan terhadap Pakatan Rakyat itu, mereka dalam diam-diam membuat keputusan yang memeranjatkan dan diyakini didalangi ahli politik yang berkepetingan.

Sambil menuntut Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad menjelaskan mengenai cagaran itu, Mazlan menyatakan rasa ragu terhadap keputusan yang dibuat tanpa Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab kerana menunaikan umrah.

“Pengarah Besar dikatakan tidak dimaklumi apa-apa sebelum cadangan tersebut dibawa dalam Lembaga Pengarah, manakala Lembaga Pengarah pula bersetuju kerana mungkin atas sebab-sebab yang tidak dapat difahami secara umum kerana sebahagian daripada Lembaga Pengarah adalah orang politik,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia, dekat sini siang tadi.

Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat juga hairan bagaimana PGVH diberikan kepercayaan yang melampau sedangkan ia mempunyai masalah pelaburan menerusi Felda Iffico Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT Etgo Canada, Felda Global Ventures Middle East dan Felda Global Ventures Arabia.

Ujarnya, cagaran itu mempunyai risiko yang besar terhadap Felda Plantation yang merupakan institusi milik orang Melayu.

"Anak syarikat Felda Global di luar negara alami kerugian. Pelaburan runtuh dalam masa tiga tahun. Saya pelik bagaimana kepercayaan diberi begitu besar kepada FGVH.

"Kesemuanya mencatat kerugian terkumpul dari tahun 1997 hingga tahun 2010 hampir RM500 juta seperti didedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kenapa kita tidak berhemah dalam kes yang membabitkan pelaburan yang begini besar dan kepercayaan yang keterlauan ini boleh mengundang satu petaka kepada institusi pembangunan tanah terbesar milik orang Melayu dalam negara kita," katanya.

Malah kata Mazlan, isu ini timbul dalam pada Ahmad Maslan masih gagal menjelaskan mengenai pinjaman Wang RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Belum selesai lagi isu pinjaman RM6bilion, sebelum itu dibangkitkan kemerosotan rezab Felda dalam tempoh 2004 hingga 2009 daripada RM4 bilion tinggal RM1.3 bilion yang menjahanamkan sebahagian rezab Felda, timbul pula isu cagar aset tanah Felda Plantation," katanya.- Harakah Daily

Tiada ulasan: