HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 September 2011

Taktik Penyeludup Bermacam-Macam

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

Anggota UPP memeriksa sebuah kenderaan yang menyeludup barang. (Gambar hiasan)

BUT kereta yang sepatutnya berfungsi untuk menyimpan barang-barang disalahgunakan untuk menyembunyikan seramai empat lelaki dewasa pendatang asing tanpa izin (Pati) manakala di ruang bonet bahagian enjin pula mampu menempatkan pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Ini belum dikira lagi dengan ‘kehebatan’ di sebalik tempat duduk belakang yang pastinya menyimpan beberapa barangan lain seperti puluhan karton rokok.

Bukan silap mata mahupun ilmu hitam namun begitulah taktik yang sering digunakan oleh penyeludup selagi ada ruang dan peluang untuk mengaburi pihak berkuasa.

Situasi itu sering dilihat oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang bertindak sebagai gerakan bersepadu bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan.

UPP dianggotai oleh tiga agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia.

Ketua Pengarah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Datuk Ab Rahim Ismail berkata, UPP akan membuat risikan dan kemudian menganalisis mengenainya sebelum melakukan serbuan atau sekatan berdasarkan maklumat yang diterima.

“Tinjauan turut dilakukan bagi mengenal pasti kedudukan yang bersesuaian untuk tindakan sekatan secara rawak, serbuan dan serangan hendap.

“UPP turut membuat kajian terhadap trend penyeludupan dan latar belakang penyeludup. Mereka dengan taktik mereka dan kita (UPP) juga ada tindakan secara efektif dan progresif,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.



AB Rahman Ismail

Sebagai contoh, Pati diseludup menggunakan kenderaan seperti kereta yang disembunyikan dalam bonet atau lori bagi ruang lebih luas.

Penyeludupan Pati akan melalui laluan-laluan tikus kerana mereka mengetahui tentang sekatan statik UPP yang dilakukan sepanjang masa di laluan utama.

Bukan dianiaya

Ab Rahim berkata, ini termasuk tangki minyak kenderaan yang dikenal pasti diubah suai kemungkinan menyeludup diesel ke negara jiran.

“Aktiviti penyeludupan melibatkan kawasan sempadan disebabkan oleh sesuatu harga barangan itu lebih murah atau mudah didapati di negara ini atau negara jiran.

“Ada juga di antaranya barangan tidak mendapat kelulusan untuk dibawa masuk bagi tujuan perdagangan seperti produk makanan dan kecantikan,” katanya.

Mengenai penyeludupan diesel, penyeludup akan mengubah suai tangki kepada lebih besar dan modus operandi mereka adalah mengisinya di beberapa stesen minyak bagi mengelakkan daripada kegiatan itu dicurigai.

Ab Rahim berkata, aktiviti penyeludupan sememangnya amat berisiko terutama apabila kegiatan itu dapat dihidu oleh pihak berkuasa seperti UPP.

“Penyeludup sudah mempertimbangkan risiko itu dan sanggup ‘melepaskan’ barang seludup berkenaan sama ada untuk hanya sementara atau dibiarkan begitu sahaja.

“Kerugian dari segi modal merupakan antara risiko penyeludupan namun aktiviti itu boleh dilakukan berulang kali sekiranya tidak disabitkan kesalahan,” katanya.

Antara contoh apabila penyeludup membawa kayu bakau yang diikat di bawah bot namun kemudiannya dipotong ikatan itu apabila pihak berkuasa datang memeriksa.

Beliau menjelaskan bahawa penyeludup kebiasaannya bukan tauke yang hanya menjadi orang tengah dan dibayar upah untuk menyeludup sesuatu barang.

“Ini adalah kerja mereka. Mereka juga tahu barang yang dibawa dan melakukannya secara sukarela dan bukan dianiaya seperti mana yang berlaku pada keldai dadah.

“Setiap aktiviti penyeludupan didalangi oleh tauke manakala broker akan menawarkan upah kepada pihak ketiga menjadi penyeludup,” katanya.

Maka tidak hairanlah operasi UPP sering melibatkan tangkapan penyeludup sedangkan tauke dan broker yang mengepalai kegiatan tersebut masih bebas.

Ab Rahim berkata, UPP merupakan gerakan bersepadu dan siasatan lanjut terhadap sesuatu kes akan diserahkan kepada agensi yang bertanggungjawab.

“Agensi terbabit seperti Polis, Kastam atau Imigresen mempunyai bahagian penyiasatan sendiri dan kami akan memberikan kerjasama dalam siasatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui UPP turut berhadapan dengan halangan sekiranya dalang atau perancang aktiviti tersebut melibatkan negara jiran.

“Kawasan tanggungjawab UPP adalah dalam negara namun terhad sekiranya penyeludup yang dikejar melepasi sempadan dan memasuki Thailand,” katanya.

Pangkalan haram

Dalam pada itu, Ab Rahim berkata, selain laluan utama dan laluan tikus, penyeludup turut menjalankan operasi mereka di pangkalan-pangkalan haram.

Menurutnya, terdapat dua situasi iatu dari segi sejarah hubungan kekeluargaan dan geografi begitu hampir antara dua negara mempengaruhi aktiviti berkenaan.

“Hubungan kekeluargaan di kedua-dua negara akan mewujudkan rangkaian yang menguatkan lagi kelancaran aktiviti penyeludupan selagi ada ruang dan peluang.

“Dari segi geografi, kedudukan Sungai Golok antara Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan begitu hampir sehingga boleh berjalan kaki sekiranya air kering,” katanya.

Kebanyakan rumah didirikan di tebing sungai mempunyai tiang-tiang yang memisahkan antara lantai dengan air memudahkan pemindahan barang dilakukan.

Ab Rahim berkata, situasi yang sama turut boleh dilihat di kawasan ladang tebu yang sangat luas di Padang Besar, Perlis terletak di sempadan dengan negara jiran.

“Walaupun terdapat pagar yang memisahkan antara kedua-duanya namun kedudukan rumah-rumah begitu hampir hanya beberapa meter dengan sempadan itu,” katanya.

Dari pondok-pondok kecil, pangkalan perahu, pelantar tidak aktif sehingga ke perahu-perahu yang melalui Sungai Golok antara pangkalan haram yang dikenal pasti.

Beliau berkata, lebih 140 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dikesan namun kedudukannya sentiasa berubah-ubah bagi mengelak dihidu oleh pihak berkuasa.

“Tidak dinafikan perubahan kedudukan itu merupakan cabaran bagi UPP menjalankan operasi kerana pergerakan penyeludup tidak mengira waktu.

“Tambahan pula komunikasi hari ini memudahkan urusan mereka dalam merancang aktiviti penyeludupan bagi memastikan sepanjang laluan berjalan lancar,” katanya.

Selain pangkalan haram bagi aktiviti penyeludupan melalui jalan air, UPP turut mengesan ‘buruh tanggung’ yang membawa barang seludup sama ada menggunakan motosikal atau hanya berjalan kaki berikutan jarak antara keduanya berdekatan.

“Itulah kerja mereka dari generasi ke generasi untuk cari makan. Mereka tidak tahu yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada aktiviti penyeludupan.

“Begitu juga dengan usaha membanteras aktiviti penyeludupan merupakan tanggungjawab UPP namun pada masa yang sama turut memelihara keselamatan negara serta membantu memerangi jenayah rentas sempadan,” katanya.

Tiada ulasan: