HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 September 2011

Sekali lagi Haris Ibrahim dilarang masuk ke Sarawak

Chen Shaua Fui


Sekali lagi, Presiden Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), juga pengendali blog The People’s Parliament, Haris Ibrahim dilarang untuk menjejakkan langkahnya ke dalam sempadan negeri Sarawak, setelah mendarat pada jam 5.15 petang di Lapangan Terbang Kuching, tadi.

Beliau dibawa oleh pegawai imigresen setelah tiba di kaunter, dan menunggu di Gate 2 untuk kapal terbang Ak 5217 yang bertolak balik ke Kuala Lumpur pada jam 7.10 petang, sambil dipantau dua orang pegawai imigresen.

Haris Ibrahim (gambar kanan) mempersoalkan, "Apa yang ditakutkan kerajaan negeri Sarawak? Saya datang ke Kuching hanya untuk menghadiri satu forum anjuran Malaysian Civil Liberties Movement, membawa agenda perubahan kepada rakyat, dan agenda perubahan yang diinginkan rakyat. Jadi apa yang ditakutkan kerajaan negeri Sarawak?"

Ketika dihubungi MerdekaReview, beliau berkata dirinya dihalang mengikut Akta Imigresen Seksyen 65(1)(a), sebagaimana apa yang berlaku pada April yang lalu, tanpa dimaklumkan puncanya. Beliau hanya diberitahu bahawa larangan ini adalah "arahan dari atas".

Pada 13 April 2011, Haris Ibrahim menjadi warga Malaysia ketiga yang dihalang menjejak ke bumi Kenyalang sejak pembubaran DUN Sarawak, mengulangi nasib aktivis BERSIH 2.0, Wong Chin Huat pada 8 April; dan aktivis sosial Steven Ng, pada 3 April 2011. Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan, pemimpin PKR Sivarasa Rasiah, ahli parlimen Padang Serai Gobalakrishnan dan lain-lain turut tersenarai sebagai warga Malaysia yang dihalang menjejak langkah ke bumi Sarawak.

Haris Ibrahim pada ketika itu menyifatkan larangan ini sebagai perbuatan menyalahgunakan kuasa, semata-mata untuk menghalang aktivis sosial daripada menyebarkan maklumat kepada pengundi tempatan Sarawak.

MCLM mengadakan forum bersiri, 27 September di Kota Kinabalu, 28 di Tawau dan pada hari ini, bertempat di Kuching. Forum ini dijangka membincangkan agenda sosial yang lebih inklusif, perjanjian yang dimeterai ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963, sistem kehakiman dan sebagainya.

Baca: Halangan kemasukan Sarawak: Giliran Haris Ibrahim pula...

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disedut dari teks asal.

Tiada ulasan: