KUALA LUMPUR ― Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menggesa kesemua menteri besar yang negeri masing-masing ada kawasan Felda menghalang perjanjian pajakan - salah satu langkah yang membolehkan penyenaraian Felda Global Ventures, dengan tidak menandatangani dokumen status hak milik tanah.
Perjanjian pajakan tanah Felda dijangka berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata, oleh kerana wujud banyak kecelaruan dan kekeliruan berhubung perjanjian pajakan tanah dan maklumat mengenai proses penyenaraian, maka pihaknya mahu kerajaan-kerajaan negeri tidak menandatangani perjanjian berkaitan status hak milik tanah di bawah Felda Plantations.
“Ini kerana ada kawasan Felda masih belum memperoleh status hak milik, jadi menteri besar kena menandatangani dokumen berkaitan bagi membolehkan tanah terbabit dipajakkan.
“Jadi bagi menjaga kepentingan para peneroka Felda, kami meminta agar menteri besar tidak berbuat demikian,” kata beliau hari ini.
Sebagai peringkat permulaan, kata beliau, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Pahang pada 9 Disember ini.
Proses penyenaraian Felda Global Ventures diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012.
Banyak pihak termasuk peneroka sendiri mendakwa masih belum mendapat maklumat terperinci mengenai proses penyenaraian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan