Seorang wakil Umno Selangor mendakwa pensyarah UIA itu dengan sewenangnya menggunakan institusi pendidikan untuk mempersenda raja-raja.
Perhimpunan Agung Umno 2011
KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari hari ini dicabar supaya meletakkan jawatannya sebagai pensyarah di Jabatan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan masuk ke kancah politik.
Perwakilan Umno daripada Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata Aziz Bari dengan sewenangnya menggunakan institusi pendidikan untuk mempersenda raja-raja.
Ini berikutan kritikan beliau berhubung fungsi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dalam kutipan zakat.
Johan sebaliknya berkata ini berbeza dengan asas perjuangan Umno yang sentiasa mempertahankan institusi raja.
“Kita akan pertahankan Tuanku sehingga titisan darah terakhir,” katanya dalam sesi perbahasan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 24 November lalu turut dukacita dengan kenyatan Aziz Bari yang mengatakan akaun Mais dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak diaudit dan menganggapnya tidak tepat.
Tuanku kemudiannya menasihatkan Aziz Bari agar tidak membuat sebarang kenyataan kerana ia mengundang kekeliruan dan keresahan di kalangan rakyat terhadap integriti Mais dan LZS.
Titahnya, Aziz Bari perlu mendapatkan fakta yang tepat dan betul sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Kenyataan beliau tidak tepat kerana Beta disembah maklum bahawa akaun Mais dan akaun LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit pada tahun-tahun akan datang,” titah baginda.
Manifesto
Selain itu, Johan turut mengkritik beberapa janji dan manifesto Pakatan Rakyat Selangor yang tidak dilaksanakan.
Ini termasuk kehilangan aset Yayasan Selangor untuk pendidikan anak-anak miskin, pemberian hak milik tanah semata-mata untuk meraih pengundi Cina dan India serta kebanjiran pusat urut dan judi sehingga Selangor dilabel sebagai pusat maksiat.
“Pakatan menggunakan syarikat kroni mengaut hasil Selangor, KSSB (Kumpulan Semesta Sdn Bhd)…korek Selangor sampai berlubang,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyeru pemimpin Umno di negeri yang lain supaya membantu menguatkan kembali jentera Umno di Selangor dan negeri lain yang ditawan Pakatan.
“Bantulah negeri yang kalah ini…..Presiden Umno dan Timbalan sampai tak cukup tangan turun….bantulah,” katanya yang berikrar pihaknya akan terus ‘tikam depan’ sehingga Barisan Nasional kembali semula memerintah Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan