HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Disember 2011

Hujan Lebat Punca Air Sungai Selangor Keruh

SHAH ALAM: Tahap kekeruhan air yang tinggi di Sungai Selangor adalah berpunca daripada hujan lebat yang melanda kawasan tersebut sepanjang minggu ini.

Pengarah Jabatan Saliran dan Perparitan Negeri Selangor, Mohd Abdul Nassir Bidin berkata, fenomena itu adalah normal dan tahap kebersihan air di sungai itu akan kembali seperti sedia kala sebaik saja cuaca bertambah baik.

'Tiada sebarang tanda bahawa kekeruhan itu berpunca daripada pembalakan haram dan pembuangan sisa industri dari kilang ke sungai.

'Kekeruhan itu adalah normal apabila hujan turun dengan lebatnya di kawasan tropika seperti Malaysia.

'Air hujan akan mengalir ke sungai dan bebanan sisa mendapan begitu tinggi," katanya kepada The Star.

Menurut beliau, ladang kelapa sawit dan kebun sayur-sayuran yang terdapat di persisiran Sungai Selangor turut menyebabkan kekeruhan air yang melampau.

Namun, katanya, keadaan itu tidak membimbangkan kerana ia adalah fenomena biasa.

Pada Isnin, Syabas memberi amaran bahawa terdapat kira-kira tiga juta penduduk di Lembah Klang akan terputus bekalan air ekoran kekeruhan air dari loji air Sungai Selangor di Ijok.

Kekeruhan air itu menyebabkan kadar pengeluaran air terjejas sebanyak 60 peratus di empat loji, kata Syabas.

Hasilnya, kekeruhan luar biasa iaitu pada tahap 6,000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) di sebelah pagi direkodkan berbanding 300 NTU pada hari biasa.

Sementara itu, kekeruhan air di Kuala Badong di Sungai Selangor direkodkan pada paras 399 NTU sehingga pukul 5 petang semalam.

Timbalan Pengarah DID, Norhisham Mohd Ghazali berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan ketara tetapi tidak boleh dianggap membimbangkan kecuali angka dimaksudkan diperolehi dari semasa ke semasa.

Pertubuhan Kesihatan Dunia mencadangkan kekeruhan air minuman tidak boleh melebihi 5 NTU dan seelok-eloknya berada di bawah paras 1 NTU.

1 ulasan:

Abgcengkih berkata...

Saya adalah antara pemancing tegar di Kuala Selangor. Hakikatnya kekeruhan yang luar biasa bukanlah berlaku semasa musim hujan ini. Saat kenyataan ini diwar-warkan air Sungai di Kawasan Kuala ini lebih jernih, malah semasa ‘air mati’ hampir hampir jernih luar biasa.

Kali terakhir ada musim udang galah adalah pada tahun 2008. Selepas itu,kualiti air semakin buruk dan tiada lagi musim khusus bagi pemancing udang. Muara Sungai Selangor sebu, cetek dan semakin cetek. Hanya ada satu paloh laluan kapal keluar masuk iaitu sebelah kiri kiranya mengadap ke laut. Tebingnya dilimpahi lanyur antara setengah hingga 2 kaki , sebahagian tempat sedikit mendapan tanah, dan hakisan, malah banyak lubuk terkambus. Laluan air telah berubah.

Bagi kami, telah lama merasa kecewa dengan keadaan ini. Tapi kami pasrah. Sekiranya tetuan lihat dari Google Maps, tetuan pasti nampak jelas kawasan hulu sungai, atas dari batang berjuntai banyak kawasan tebing sungai telah ‘terang’ dan gondol. Ditarah atau runtuh tebingnya, dengan menaiki pesawat helikopter, tetuan pantaulah sendiri. Kami berpendapat kerosakan sungai adalah berpunca dari kerakusan manusia atas nama perniagaan (pasir?) dan pembangunan (hartanah, perladangan, perumahan dsb).

Kami pasti ada banyak kaedah rawatan dan pemuliharaan yang terabai atau diabaikan. Cadangan kami -gunakanlah kemahiran Biotech dari Unisel bagi menternak dan menaburkan EM, bukankah mereka di tepian sungai Selangor?

Dengan ini kami sudahi dengan mengatakan, belum pernah ada langkah dan usaha yang kami lihat untuk memulihara Sungai yang bersejarah ini.