Sebagai alternatif, Agrobank mungkin boleh pertimbangkan hasil tanaman dan ternakan mereka sebagai cagaran, kata Noh Omar.
KUALA SELANGOR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar meminta Agrobank mengkaji kaedah pemberian pinjaman kepada petani dan penternak yang berpengalaman lebih lima tahun tetapi tidak memiliki tanah sendiri.
Beliau berkata ini kerana ada antara mereka yang tidak mempunyai hak milik tanah sendiri melakukan aktiviti pertanian dan penternakan di atas tanah milik kerajaan, iaitu sebagai pemegang lesen menduduki sementara (TOL) atau di bawah pencawang elektrik.
Noh berkata keadaan itu menyukarkan mereka memohon pinjaman daripada Agrobank yang ketika kini menetapkan syarat bakal peminjam perlu memiliki tanah sendiri dan mendapatkan penjamin.
“Sebagai alternatif, Agrobank mungkin boleh pertimbangkan hasil tanaman dan ternakan mereka sebagai cagaran atau penilaian untuk permohonan pinjaman yang melebihi RM50,000 walaupun risikonya tinggi.
“Agrobank kena berani ambil risiko ini dan mungkin juga boleh lihat pada ‘track record’ petani dan penternak ini sekiranya telah mencecah lima tahun sudah dikira bagus,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan premis baru Agrobank cawangan Kuala Selangor di Taman Yu, Jeram, di sini hari ini.
Turut hadir pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Agrobank Tan Sri Faizah Mohd Tahir dan presiden/ketua pegawai eksekutif Agrobank Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.
Noh berkata syarat pemohonan daripada golongan belia tidak berpendidikan tetapi berpengalaman dalam bidang pertanian dan penternakan juga harus dilonggarkan.
“Kita nak Agrobank kaji untuk cari pendekatan lain supaya tidak hanyabergantung pada cagaran. Kalau cara konvensional masih bergantung pada cagaran dan penjamin maka susahlah nak berkembang, tanah semakin berkurang dan nak cari penjamin pada masa ini susah,” katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan