MALAYSIA CHRONICLE
GENDANG perang telah dipalu dan setiap ahli UMNO sudah boleh mula membuat segala persiapan sementara menunggu tarikh pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiap ahli di semua peringkat, terutama barisan kepemimpinan perlu bekerja lebih agresif tanpa perlu memikirkan siapa yang akan menjadi calon, tanpa cuba menonjolkan diri mereka lebih layak menjadi wakil rakyat.
Majoriti pembahas pada perhimpunan agung kali ini bersetuju setiap ahli harus mendengar dan akur kepada nasihat Presiden dan jangan bimbang mengenai siapa bakal menjadi calon. Serahkan kepada kepemimpinan tertinggi membuat keputusan terbaik.
Walaupun ramai tidak ada keberanian seperti ahli Dewan Undangan Negeri Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengumumkan kesediaan tidak bertanding, mereka akur dengan permintaan Presiden supaya tidak terlalu memikirkan soal calon.
Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan taklimat Presiden Selasa lalu, dipercayai telah mencapai persetujuan atau baiah dengan perwakilan berhubung soal memilih calon terbaik.
Najib dikatakan mempunyai kriteria paling mudah dalam memilih calon boleh menang – iaitu sesiapa saja yang diterima pengundi di kawasan masing-masing dan boleh menang.
Cuma beliau memberi satu jaminan yang melegakan ramai pemimpin bahagian, iaitu keutamaan akan diberi kepada barisan kepemimpinan bahagian.
Namun, kata Presiden, jika selepas diteliti senarai yang ada bukan calon boleh menang, barulah kepemimpinan tertinggi akan melihat calon lain.
“Presiden akan cuba mengelak calon payung terjun, tetapi kami percaya beliau sudah tahu atau sudah mula nampak calon terbaik di kebanyakan kawasan.
“Jika dilihat daripada ucapan ketika menyampaikan amanatnya Selasa lalu, saya yakin tidak ada satu pun yang terlepas daripada pandangannya. Dia tahu apa yang berlaku di akar umbi... semua laporan yang tiba di mejanya dibaca.
“Saya yakin krisis pemilihan calon seperti 2008 tidak berulang kerana Najib mempunyai pendekatan secara langsung dengan setiap orang di peringkat bahagian,” kata seorang perwakilan.
UMNO mengalami pengalaman perit dalam isu pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum 2008 kerana senarai nama bertukar sehingga ke saat akhir penamaan calon, di samping ada campur tangan amat serius yang membuatkan ramai pemimpin kecewa.
Ia membuatkan banyak bahagian berpecah belah serta berpuak-puak sehingga Umno hampir tumbang kerana ahlinya sendiri membuat undi protes.
Di atas sebab itu, kata perwakilan berkenaan, Najib menuntut janji dari semua kepimpinan UMNO supaya tidak mengulang perangai cah keting, lari ke luar negara, enggan membantu atau tidak membuka pintu rumah, apabila tidak dipilih menjadi calon.
Najib bagaimanapun sedar mengenai perangai hulubalangnya. Beliau meminta jika yang dipilih bukan ketua bahagian, maka calon terbabit jangan sekali-kali menentang ketua bahagian dalam pemilihan parti.
Ini adalah karektor Presiden UMNO sebenarnya. Jika dikaji, sejak mengambil alih pentadbiran 30 bulan lalu, beliau langsung tidak melakukan sebarang perubahan walaupun ramai mendesak kerana Kabinet diwarisi adalah pilihan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ramai yang mengenali secara rapat Perdana Menteri memaklumkan beliau tidak pernah memecat sesiapa. Apa dilakukan berasaskan kasih sayang dan cuba memelihara suasana harmoni setiap masa.
Justeru, setiap ahli UMNO wajar menghormati sikap Presiden yang telah bekerja keras dan menghadapi halangan, bantahan dan fitnah dari segala sudut.
Apa yang perlu ada dalam jiwa orang UMNO pada ‘ibu’ segala pilihan raya adalah rakan tak penting, kumpulan tidak penting, tetapi yang penting ialah kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN). -BeritaHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan