HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Disember 2011

Rahim dakwa kes beliau tak sama dengan Shahrizat

"Saya dipecat kerana pembohongan Anwar," kata bekas ketua menteri Melaka dan ketua Pemuda Umno itu.



KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, kes beliau yang terpaksa meletakkan jawatan kerajaan dan parti tidak sama dengan yang sedang dihadapi ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Abdul Rahim berkata beliau terpaksa meletakkan jawatan ketua Pemuda Umno dan ketua menteri Melaka pada tahun 1994 kerana kehendak Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri waktu itu.

Beliau menegaskan pemecatannya bukan kerana kehendak kabinet atau pun skandal seks dengan remaja buah umur.

Skandal seks itu dicetuskan oleh pemimpin DAP iaitu Lim Guan Eng yang kini ketua menteri Pulau Pinang dan setiausaha agung DAP.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Abdul Rahim dan memenjarakan Lim.

Manakala Shahrizat pula kini berdepan dengan dakwaan penyalahgunaan dana pusat ternakan negara (NFC) membabitkan wang RM250 juta.

Desak letak jawatan

Pembangkang dan beberapa pemimpin BN mendesak ketua wanita Umno meletakkan jawatan.

Isu membabitkan Shahrizat itu didedahkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Ketika ditemui semasa perhimpunan agung Umno di PWTC semalam, Abdul Rahim yang kini pengerusi Risda berkata, beliau terpaksa meletakkan jawatan ketua Pemuda Umno dan ketua menteri Melaka kerana politik Anwar.

“Anwar menggunakan nama Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk memecat saya. Dia kata Mahathir yang mahu saya dipecat.

“Apabila saya periksa dengan Mahathir dia (Mahathir) kata dia tidak buat arahan.

“Saya dipecat kerana pembohongan Anwar,” katanya.

Abdul Rahim turut memuji tindakan Shahrizat yang menyerahkan kedudukannya dalam kabinet kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: