HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2011

Selangor Mahu Kembalikan Kehijauan Negeri

Oleh Hafizan Taib


KLANG : Program menghijaukan bumi dengan penanaman pokok secara produktif di Selangor dapat mengembalikan kestabilan ekosistem negeri yang terjejas akibat pembangunan industri yang pesat kata Exco Kerajaan Negeri Dr Yaakob Sapari.

Yaakob yang memegang portfolio Pemodenan Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Pengurusan Sumber Alam berkata usaha sedang dilakukan Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak untuk mewujudkan kembali suasana persekitaran yang menghijau di negeri ini.

Ini kerana katanya, sebelum ini banyak kawasan hutan di Selangor telah diteroka dengan sebahagian besar telah dibersih dan diterangkan untuk tujuan pembangunan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar dengan kepanasan yang meningkat.

"Perancangan mendahulukan industri telah menyebabkan kita tebang sebahagian besar pokok-pokok dan pada hari ini kita nak tanam semula pokok-pokok supaya untuk menstabilkan kembali. Sebab pembangunan yang tidak terancang akan menyebabkan banyak masalah. Jadi usaha-usaha ini untuk membangunkan ekosistem.

"Selangor umpamanya. Walaupun Selangor 80 peratus kawasan industri, perumahan dan perkhidmatan tetapi kena mengekalkan sebahagian (kawasan hijau). Walaupun tinggal di bandar tetap dengan penuh kehijauan," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Ekspo Flora 2011 di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dan Pemangku dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ikhsan Mukri.

Beliau berkata, pembangunan sesebuah negeri atau negara adalah penting demi mencapai kemajuan setanding negara lain tetapi ia tidak seharusnya sehingga mengorbankan keadaan alam sekitar.

"Kalau kita lihat Singapura antara negara yang memacu pembangunan tetapi masih mempertahankan kehijauan dan ekosistemnya," katanya.

"Kita dapati pokok-pokok ini boleh mengurangkan suhu sampai sepuluh selsius. Kalau di luar macam sekarang kalau tinggal di luar suhu mungkin dalam 32 selsius tetapi bawah pokok jadi 22 selsius. Jadi pokok-pokok ini untuk menyejukkan balik dunia ini," katanya.

Tiada ulasan: