HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2011

Shafie Apdal: BN perlu menang selesa dapat ‘kuasa’ pinda Perlembagaan


KUALA LUMPUR – Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal menegaskan Barisan Nasional (BN) perlu menang selesa kerana ia akan memudahkan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kemenangan tipis BN pada pilihan raya umum 2008 telah memeritkan parti betapa bahaya bila sesuatu kerajaan tidak mendapat majoriti dua pertiga.

“Kita bukan sahaja mesti menang dalam pilihan raya umum ini tetapi kita mesti menang dengan selesa,” kata beliau (gambar) ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 petang ini.

Sambil membandingkan kerajaan yang lemah di England dan Amerika Syarikat, katanya, BN kena menang besar supaya mudah meminda Perlembagaan di Parlimen.

“Obama tidak dapat meluluskan bajetnya kerana partinya tidak menguasai Kongres,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah percaya BN tetap menang dalam pilihan raya umum akan datang berdasarkan semua pilihan raya kecil selepas Datuk Seri Najib Razak mengendalikan parti itu menang semua kerusi.

“Kita menang di Batu Sapi, Galas, Merlimau, Tenang. Ini membuktikan BN diyakini semula rakyat setelah gagal mendapat majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-12,” kata beliau.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 amat penting dalam menentukan survival orang Melayu dan kedaulatan orang Islam.

Beliau yang juga pengerusi pendaftaran pengundi baru berkata, kalau “kita ada calon boleh menang pun tak guna, kalau undi tidak cukup.”

“Sebab itu Umno bahagian kena pastikan semua yang layak mengundi didaftar sebagai pengundi,” katanya.

Seorang lagi naib presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin Hussein pula ketika menyampaikan ucapannya berkata, Umno dalam memperkenalkan transformasi tidak akan sama sekali menggadaikan hak-hak orang Melayu.

Katanya, Najib sudah memperkenalkan pelbagai transformasi dan ia perlu diterjemahkan dalam bentuk undi.

“Apa guna buat transformasi kalau kita kalah dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Rakan sejawatannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menjelaskan menurut kajian PAS, sokongan rakyat terhadap Najib semakin meningkat.

“Kajian ini bukan dibuat oleh Umno tetapi dibuat oleh PAS yang kita dapat capynya,” kata beliau dalam ucapan penggulungannya.

Katanya, seramai 54 peratus bersetuju dengan transformasi yang dibuat Najib. Begitu juga 76 peratus responden kecewa dengan kerajaan Selangor.

Seramai 55 peratus pula tidak suka kepada PKR dan 54 peratus menganggap Umno membela hak ketuanan orang Melayu dan Islam.

“Saya yakin kita dapat tawan semula Selangor berpandukan kajian yang dibuat oleh PAS ini,” katanya yang akan membantu BN Selangor untuk menawan semula negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata potensi BN untuk menang semula amat cerah.

“Tetapi potensi kena ada pada semua orang. Bukan sahaja kepada presiden, timbalan presiden, ahli-ahli majlis tertinggi, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua cawangan malah potensi itu kena ada pada semua orang Umno,” katanya lagi.

Tiada ulasan: