HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Disember 2011

UCAPAN DASAR PRESIDEN: APA JADI DENGAN NAJIB?

RONTOG DAILY

Hambar!

Itu kesimpulan yang boleh dibuat selepas mengikuti ucapan dasar Presiden UMNO di hadapan ribuan jemputan dan perwakilan di Dewan Merdeka .

Selepas menghabiskan tujuh lapan minit pertama dengan ‘salam’ dan alu-aluan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengisi hampir 40 minit berikutnya dengan sesi ‘membaca’ teks mengenai sejarah. Baki yang hanya beberapa belas minit itulah diisi dengan sedikit ulasan, kupasan dan seruan kepada ahli-ahli UMNO, di samping diselit dengan hentaman dan sindiran kepada parti-parti lawan.

Tidak banyak, malah hampir tidak ada apa yang baru dalam ucapan Najib kali ini. Jauh benar bezanya dengan ucapan yang dilontarkannya dalam perhimpunan tahun lalu.

Dan ada kawan yang saban tahun mengikuti ucapan-ucapan Presiden UMNO, sejak dari zaman Allahyarham Tun Hussein Onn menyifatkannya sebagai ‘ucapan paling teruk yang pernah saya dengar’.

Najib membuat ‘surprise’ dengan mengecewakan ramai orang. Sejak beberapa hari lalu banyak pihak menjangka ucapan Presiden UMNO itu akan menjadi sangat panas dan berapi memandangkan banyaknya isu yang berlegar sekarang ini, ditambah pula dengan keyakinan bahawa ini merupakan persidangan UMNO terakhir menjelang PRU ke-13.

Keyakinan orang terhadap kehangatan ucapan yang bakal dipersembahkan oleh Najib bertambah tebal selepas mendengar ucapan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan persidangan tiga sayap parti malam Selasa lalu. Ucapan Muhyiddin berapi-api, mampu membangkitkan orang yang lena.

Perkara yang sebaliknya terjadi pada Najib. Walaupun ucapannya mungkin tidak menyebabkan orang yang terjaga itu mengantuk dan lena, namun ia cukup untuk membuatkan mereka ternganga – hairan memikirkan apa yang jadi pada orang nombor satu dalam parti dan kerajaan itu. Ke mana hilang auranya? Atau apakah kehilangan aura perwakilan juga telah mempengaruhi aura Najib sendiri?

Jangkaan bahawa Najib akan menyentuh tentang banyak perkara, terutama isu-isu panas yang berbangkit sebagai umpan untuk dibahaskan oleh perwakilan ternyata meleset sama sekali. Tidak ada apa yang menyengat, malah Najib membuat silap besar apabila mengaitkan Bajau Laut dengan ‘lanun’

Yang agak banyak disentuh cuma soal perubahan sikap generasi muda, peranan media baru dan seruan supaya UMNO bijak menanganinya. Itu pun sentuhan-sentuhan yang agak mendatar. Selebihnya ialah soal lapuk, soal kesetiaan, soal ketaatan, soal perjuangan, yang diulang-ulang hampir setiap kali perhimpunan.

Sungguh, ucapan Najib kali ini tidak boleh diklaskan sebagai ucapan seorang panglima perang yang sedang mempersiapkan bala tenteranya untuk berdepan dengan pertarungan yang beberapa hari lalu beliau sendiri sifatkan sebagai yang paling luar biasa dalam sejarah.

Mungkin semua ini ada kaitannya dengan kata Prof Ulung Dato’ Dr Shamsul Ami Baharuddin dalam satu sesi bual-bual di TV3 yang menyifatkan Najib sebagai orang yang menjadi PM bukan kerana memenangi pilihanraya, tetapi kerana mengambil alih jawatan daripada orang lain. Oleh itu ada tembok yang harus beliau panjat. Keadaan ini tidak bezanya dengan analogi yang diberikan oleh Najib sendiri dalam ucapannya, mengena bagaimana Usamah bin Zaid mengambil alih kepimpinan tentera daripada Khalid Ibn Walid yang terpaksa mengundurkan diri atas kemahuan khalifah.

Sejarah membuktikan Usamah berjaya membuktikan kehebatannya dengan membawa kemenangan demi kemenangan kepada tentera Islam.

Najib bagaimana?

Tiada ulasan: