ANTARA POS.COM
SHAH ALAM : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafie mendakwa Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar sengaja merancang dan membuat tuduhan untuk memberi gambaran buruk terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri ini bersabit isu pemberian kontrak pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd.
Beliau berkata demikian dalam sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (SELCAT) di SUK di sini hari ini.
Menurut Shuhaimi, tuduhan liar itu dibuat oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional kerana merasakan kedudukan mereka di Selangor semakin tergugat memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.
“Kenyataan yang mengatakan berlakunya penyelewengan dalam isu perlombongan pasir dikhuatiri ditulis oleh penulis upahan yang tidak berintegriti.
"Ia merupakan satu tuduhan yang jelas mempunyai kaitan dengan rancangan untuk memburukkan imej kerajaan negeri,” tegasnya.
Blogger terkenal, Raja Petra Kamaruddin sebelum ini mengemukakan dua nama pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwa terlibat dalam skandal penyelewengan pasir di Selangor.
Selain nama Shuhaimi, seorang lagi Adun yang dikaitkan dalam kes ini ialah Amirudin Shari.
Kedua-dua pemimpin PKR ini didakwa menerima rasuah daripada kontraktor yang terlibat dalam perlombongan pasir di Selangor.
Pendengaran awam SELCAT kali ini melibatkan tiga kes syarikat milik kerajaan negeri itu.
Selain KSSB, kes yang melibatkan Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan turut didengar.
SELCAT dipengerusikan Speaker Dun Selangor, Datuk Teng Chang Kim selain empat penal yang terdiri daripada Azmin Ali (Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (Hulu Klang), Haniza Talha (Taman Medan) dan wakil BN yang juga Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan