ANTARA POS.COM
KUALA LUMPUR: Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat sama bersalah seperti Barisan Nasional berkaitan cara pemberian kontrak tender.
Dalam laman web Malaysia Today kendaliannya , hari ini, Raja Petra mendakwa kerajaan negeri Selangor juga memberikan kontrak bernilai jutaan ringgit melalui pemberian tender secara terus.
Menurutnya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pernah membuat pengumuman pada Ogos 2008 lalu, bahawa kerajaan pimpinannya akan menuruti langkah kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menghapuskan sistem pemberian kontrak secara rundingan.
Pulau Pinang, yang diambil alih oleh DAP, salah satu parti komponen dalam Pakatan Rakyat adalah antara lima negeri yang jatuh ke tangan gabungan itu selepas pilihanraya umum ke 12 pada Mac 2008 lalu.
“Namun pada tahun yang sama, kontrak bernilai sejumlah RM79 juta telah diberikan (oleh kerajaan negeri Selangor) melalui kontrak tender secara rundingan, RM27 juta bagi tahun 2009 dan seterusnya RM143 juta bagi tahun 2010.
“Saya tidak memilik perangkaan untuk tahun lepas, tetapi melihat kepada corak (pemberian kontrak), kita dapat mengagak bahawa ia dalam sekitar RM100 juta," tulis beliau dalam blognya.
Tulisan terbarunya itu adalah sebahagian daripada beberapa siri artikel dalam blognya mengecam Khalid dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya korup.
Raja Petra mendakwa Anwar, yang juga penasihat ekonomi kepada kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Khalid langsung tidak memperdulikan amalan salahguna kuasa oleh kerajaan negeri.
Antara dakwaan Raja Petra ialah penyelewengan dan rasuah dalam syarikat perlombongan pasir milik kerajaan negeri dan mengkaitkan dua Adun PKR dalam skandal yang dianggar bernilai jutaan ringgit.
Kedua-dua Adun terbabit, bagaimanapun menafikan dakwaan Raja Petra sambil menganggapnya satu fitnah yang dibuat oleh blogger berkenaan.
Raja Petra juga sebelum itu, telah mendakwa bahawa kontrak perundangan kerajaan negeri itu diberikan secara terus kepada firma guaman yang rapat dengan pentadbiran kerajaan negeri dan individu yang menyokong atau merupakan pemimpin di Pakatan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan