HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Mac 2012

Penduduk kampung di Kemabong kemuka bantahan kepada LIGS

TENOM: Penduduk Kg Kuala Ungga Patian, Kemabong mengemukakan bantahan kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Unit Pekebun Kecil di sini berhubung pencerobohan kawasan untuk projek tanaman getah berkelompok di lokasi Sungai Antimahan yang telah pun dipohon oleh penduduk.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) kampung tersebut Aginggu Kabalan 48, berkata, lokasi yang diceroboh LIGS telah pun dipohon oleh tujuh orang penduduk malah sudah menerima kelulusan untuk pengukuran daripada Jabatan Tanah dan Ukur menerusi RSP atau SP (Sijil Pengukuran) L.S.1601.1.808/36 bertarikh 9 Ogos 2000 untuk seluas keseluruhan 38.039 hektar.

Katanya, adalah tidak sopan sekiranya kuasa dan amanah kerajaan yang terletak di tangan JKKK dan Ketua Kampung (KK) dengan semudah itu dibelakangi oleh kerajaan itu sendiri.

“Sepatutnya mereka (LIGS) memaklumkan terlebih dahulu kepada badan JKKK dan Ketua Kampung sebelum menerokai kawasan tersebut,” kata Aginggu selepas menyerahkan surat bersama laporan polis kepada Pegawai Penuasa LIGS di sini pada Khamis lepas.

“Kami terkejut dengan kehadiran juruukur swasta di situ yang memberitahu kami bahawa kawasan itu sudah dimiliki LIGS untuk projek tanaman getah berkelompok dan dua hari selepas itu jentera berat dan jentolak telah dibawa masuk ke kawasan tersebut. Inilah membuat kami terkilan dan juga merasa marah,” tegas Aginggu.

“Lebih-lebih lagi apabila kami semak senarai peserta dalam projek itu, kebanyakannya orang luar dan terdapat kakitangan LIGS sendiri,” tambahnya.

Aginggu menggesa pihak terbabit menghentikan serta merta operasi projek tersebut sebelum siasatan selesai.

Dalam masa yang sama, Aginggu memberitahu, bahawa mereka (penduduk) juga sudah beberapa kali memohon projek seperti itu sebelum ini namun permohonan mereka sehingga sekarang tidak mendapat sebarang jawapan.

Menurut Aginggu, beliau telah pun mengemukakan masalah tersebut kepada Pegawai Daerah untuk tindakan tetapi beliau dinasihatkan supaya mengemukakan surat bantahan rasmi kepada Pejabat Tanah dan disalinkan kepada pihak LIGS.

Polis di sini juga turut mengesahkan laporan polis berhubung masalah tersebut telah pun dibuat oleh Aginggu bin Kabalan menerusi TNM/RPT/0349/2012 bertarikh: 1 Mac 2012 jam 10.30 pagi.new sabah times-

Tiada ulasan: