Syarikat National Feedlot Corporation (NFC) tidak seharusnya campur tangan dalam siasatan pihak berkuasa mengenai perniagaan penternakan lembu di bawah projek Pusat Fidlot Nasional (PFN), kata Menteri di pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.Sebaliknya, ia harus membiarkan hal itu disiasat pihak polis dan ditentukan Pejabat Peguam Negara (AGC) Malaysia, katanya lagi.
‘Apa-apa yang ingin dikatakan, cakap dalam mahkamah apabila didakwa, jika tidak jangan cakap,’ katanya di Kampung Beluru, dekat sini, kelmarin.
Datuk Seri Mohamed Nazri membuat komen itu ketika diminta mengulas mengenai rasa tidak puas hati yang dinyatakan pihak pengurusan NFC apabila pihak polis mengumumkan mereka akan menyarankan agar pengarah syarikat NFC didakwa atas kesalahan pecah amanah dan melakukan penipuan melibatkan lebih RM250 juta ($104.27 juta) dalam isu perniagaan lembu.
Syarikat NFC menyifatkan kenyataan polis itu sebagai diberikan terlalu awal.
‘Mereka bukan mahkamah (dan) tidak boleh tentukan apa-apa,’ kata Datuk Seri Mohamed Nazri lagi.
Sementara itu, spekulasi semakin tersebar luas bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tidak akan dilantik sebagai senator bagi penggal kedua.
Akhbar Sinchew Daily, kelmarin melaporkan bahawa ‘kecuali berlaku sebarang kejadian yang tidak disangka, Datuk Seri Shahrizat mungkin tidak dapat melanjutkan penggalnya sebagai senator dan kedudukannya dalam kementerian mungkin akan diganti sehingga Parlimen dibubarkan’.
Penggal beliau sebagai senator berakhir pada 8 April depan.
Datuk Seri Shahrizat telah dikritik teruk atas pembabitan keluarganya dalam skandal NFC dan ramai individu, daripada dalam dan luar Barisan Nasional yang menggesa beliau meletak jawatan.
Datuk Seri Shahrizat, yang dikalahkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, bagi kerusi parlimen Lembah Pantai, dilantik sebagai senator pada 9 April 2009.
Beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sehari kemudian.
Setiap penggal bagi senator Dewan Negara berlangsung selama tiga tahun dan seorang senator hanya boleh dilantik bagi dua penggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan