SINAR HARIAN
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kajian yang dijalankan secara tidak langsung menunjukkan Najib merupakan perdana menteri yang sentiasa memenuhi janji rakyat melalui pelbagai pendekatan terutama program transformasi yang dicetuskan beliau.
"Kalau ada yang kata ini gimik, beliau telah lakukan pendekatan seperti ini bukan beberapa bulan tetapi sudah bertahun-tahun...beliau datang ke Perak ini bukan sekali tetapi berpuluh-puluh kali. Ini bukan hanya gimik, ini adalah transformasi dan juga transformasi politik.
"Beliau menunjukkan kita mempunyai landskap baru politik dan kita perlu bersama-sama dengan aspirasi rakyat dan apa yang rakyat harapkan daripada kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada kakitangan pejabat kerajaan negeri dan media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan akhbar hari ini yang melaporkan populariti Najib didapati meningkat mendadak di lima negeri yang sedang dan pernah dikuasai pembangkang manakala sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz Nik Mat merosot.
Kajian populariti pemimpin melibatkan 1,300 responden berumur 21 tahun ke atas oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dijalankan beberapa negeri termasuk Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan Mac lepas itu mendapati 63 peratus responden berpuas hati terhadap kualiti kepimpinan Perdana Menteri berbanding 38 peratus pada Mac 2008.
Sementara itu, menurut kajian Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mat Jali mendapati 76 peratus daripada 1,400 responden menyatakan imej Najib amat baik berbanding Anwar dan Nik Aziz, dan 87.4 peratus responden berumur 21 hingga 60 tahun menyokong kepimpinannya.
Kedua-dua kajian itu dibentangkan pada Perbincangan Meja Bulat 'PRU 13: Malaysia Pilih Siapa?' semalam, di ibu negara.
Katanya, pendekatan turun padang yang dilakukan Perdana Menteri untuk bertemu masyarakat daripada golongan sasar secara tidak langsung memberi kesan positif kedudukan BN di Perak, memandangkan beliau dinilai sebagai seorang pemimpin BN yang mengutamakan rakyat.
Zambry yang juga Pengerusi BN Perak tidak menolak kemungkinan PRU-13 akan diadakan tidak lama lagi berdasarkan populariti yang diraih Najib menerusi kajian tersebut. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan