HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2012

Hari Kemerdekaan: PR pelawa tema alternatif

Wartawan Sinar Harian

PR gesa Pusat tukar tema Hari Kebangsaan
Tema Kemerdekaan Malaysia 2012
 
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) yang baru-baru ini memprotes pemilihan tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, hari ini mempelawa orang ramai agar mengemukakan cadangan tema alternatif.

Langkah ini diumumkan tiga hari selepas PR membuat pendirian rasmi menggesa kerajaan menukar tema kali ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".

PR juga berkata, ia juga selari dengan pandangan yang dilahirkan oleh pembaca Sinar Harian Online, sekitar 85 peratus mahukan tema tahun ini ditukar.

"Untuk itu kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk bersama menyarankan tema alternatif untuk Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

"Sebarang cadangan boleh diajukan kepada Sekretariat Pakatan Rakyat atau diemelkan ke alamat sekretariatpakatan@gmail.com," kata tiga pemimpin PKR dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyebut tarikh tutup cadangan adalah Isnin ini. Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok.

Ketiga-tiga pemimpin itu berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan yang dibuat sama dengan tema kempen Barisan Nasional (BN) adalah tindakan yang tidak dapat diterima rakyat.

"Ini adalah kali pertama sambutan Hari Kebangsaan yang merupakan hari keramat setiap lapisan rakyat dicabuli dengan agenda parti bertujuan mengekalkan kuasa," kata kenyataan pemimpin-pemimpin itu.

Kenyataan itu juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ternyata gagal mengikuti jejak ayahandanya sebagai seorang negarawan tetapi tanpa segan silu menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk kekal berkuasa.

"Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat dalam kenyataan akhbar kami 24 Julai lepas telah memberikan masa seminggu kepada Kemeterian Penerangan (Komunikasi dan Kebudayaan) untuk menukar tema Hari Kebangsaan agar dapat diterima dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat atas alasan Hari Kebangsaan tidak seharusnya menjadi medan BN mempromosi agenda singkat mereka.

"Kami juga menghormati hak kerajaan untuk memilih tema tersebut tetapi perlulah bijak memilih tema yang boleh diterima semua lapisan rakyat," kata kenyataan mereka itu.

Kenyataan itu juga menegaskan, baru-baru ini Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan telah menjawab bahawa hak memilih tema sambutan Hari Kemerdekaan adalah hak mutlak kerajaan yang memerintah dan ia ternyata mereka memilih untuk tidak menghormati pandangan rakyat.

Tiada ulasan: