HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Julai 2012

Kajian UUM: PR dakwa bias, BN kata 'bagus'

ROSLINDA HASHIM

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
 
 
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempersoal peranan Majlis Profesor Negara (MPN) yang menerajui kajian membabitkan isu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana memfokus isu remeh, yang memberi kelebihan kepada Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, badan itu sewajarnya memfokus kepada kajian ilmiah yang lebih bermanfaat membabitkan isu pilihan raya seperti pilihan raya yang lebih bersih atau pengundi hantu.

“Saya kecewa kerana tahap pemikiran golongan profesor tidak jauh bezanya dengan pemimpin peringkat bawahan Barisan Nasional (BN), yang memfokus isu remeh seperti calon MB.

"Ini suatu yang malang kerana golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius,” katanya.

Azizan berkata, golongan itu seolah-olah diperalatkan pihak tertentu untuk membangkitkan isu ini demi kepentingan kumpulan tertentu.

“Jika kajian isu politik dibuat oleh kalangan orang politik, ia bukan sesuatu yang pelik. Kebijaksanaan mereka harus difokuskan kepada masalah negara yang lebih besar seperti isu rakyat, membangunkan negeri atau mempertahan kuasa,” katanya.

Menurutnya, golongan itu perlu bangkit mengupas isu lebih serius dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kajian UUM satu petunjuk terhadap perubahan sokongan yang sedang berlaku.

Mahdzir berkata, pendedahan itu merupakan satu perkara yang baik namun pada masa yang sama BN di negeri ini tidak boleh leka sebaliknya perlu terus bekerja keras.

"Kajian itu menyatakan bahawa rakyat Kedah kembali memilih BN, ini sesuatu yang bagus. Perkara ini bukan rekaan kerana disokong dengan fakta hasil kajian yang mereka jalankan.

"Kenapa rakyat kembali memilih BN? Sudah tentu ada alasan tertentu yang menyokong perubahan ini, terutama dari segi kredibiliti Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Kedah," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew ketika diajukan soalan sama, turut menyifatkan kajian berkenaan adalah maklumat yang tepat, lebih-lebih lagi apabila prestasi PR dalam mentadbir Kedah dilihat semakin merosot.

"Lebih empat tahun mereka (PR) mentadbir Kedah, prestasi mereka boleh dikatakan cukup teruk, tiada perubahan atau pembangunan dilakukan di negeri ini.

"Rakyat mula-mula memberi harapan besar kepada mereka namun akhirnya rakyat kecewa kerana apa yang diharapkan tidak seindah janji yang ditabur," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, anak kepada bekas perdana menteri, Datuk Mukhriz Mahathir, yang juga Timbalan Pengerusi BN Kedah, dilaporkan dalam kajian UUM, sebagai calon pilihan rakyat Kedah sekiranya BN kembali memerintah negeri ini.

Mukhriz dilaporkan mendapat undian 69 peratus manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah; dan Mahdzir, masing-masing mencatatkan 13 peratus, 12 peratus dan lima peratus.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, ketika dihubungi Sinar Harian, bagaimanapun enggan mengulas mengenai hasil kajian berkenaan.

Tiada ulasan: