HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Ogos 2012

Mat Sabu 'ceramah' di mahkamah

Mohd Sabri Said,
BUTTETWORTH: Buat Kali pertama kalinya Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu berceramah di dalam mahkamah.
(Haji Mohamad Sabu di mahkamah semalam)

Menyaksikan ceramah beliau ialah Hakim Mahkamah Majestrit Butterworth. Akmal Hisham, pendakwa raya dan peguambela yang diketuai oleh Mohamed Hanipa Maidin.

Semalam dan hari ini merupakan sambungan pembicaraan kes Haji Mohamad Sabu yang menafikan Mat Indera sebagai komunis sebagaimana yang lebelkan oleh pihak polis yang bekerja di bawah kerajaan British.

Saksi kedua iaitu Koperal Shanizam Abdul Ghani yang bertugas sebagai jurugambar (video) di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) memberikan keterangan di mahkamah.

Pembicaraan bersambung pada sebelah petang semalam untuk menonton video ceramah Haji Mohamad hasil rakaman oleh pihak polis.

"Kini Haji Mohamad Sabu bukan berceramah dipentas politik tetapi suaranya sudah berkemumandang dalam mahkamah, " jelas salah seorang ahli PAS yang hadir memberikan sokongan moral.

Sementara itu, kes ditunda lagi ke tarikh baru 15-18 Oktober 2012.

Peguamnya, Aminuddin Zulkili dan Nasar Khan hadir untuk mendengar penundaan tarikh baru itu bagi pihak Mohamad.

Dr Burhanuddin al-Helmy dan PAS – Bahagian I

Dr Ahmad Nabil Amir,

“Seribu orang tua hanya dapat bermimpi, satu orang pemuda dapat mengubah dunia”. Presiden Soekarno.

Dalam sejarah politik dan struktur pemerintahan di Malaysia, Parti Islam se-Malaysia (PAS) memainkan peranan yang cukup penting dalam menentukan corak dan landas perjuangan politik di Tanah Melayu sejak ditubuhkan pada 4 April 1956.

Antara gagasan terpenting PAS yang dicerakinkan dalam perlembagaannya (pindaan 2001) adalah “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” dan “mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”

Dan cita-cita ini jelas terungkap dalam pemasyhurannya: “Bahawa dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan al-amru bil ma‘ruf wan nahyu ‘anil munkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan Parti Islam Se-Malaysia.”

Dalam bukunya Islam Embedded yang menganalisis sejarah perkembangan PAS sejak tahun 1951-2003, Dr Farish Noor menzahirkan pandangannya tentang PAS sebagai: “the most remarkable political party in the history of Malaysia”. Kebangkitan PAS antara tahun 1999-2003 telah meletakkannya ke posisi yang penting dalam arus politik tanah air: “the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) had become the biggest and most important opposition party in Malaysia”.

Dr Mujahid Yusof Rawa dalam bukunya Menuju PAS Baru berhujah bahawa perjuangan membina kekuatan parti harus diperkukuh dengan wacana baru yang dapat merumuskan pandangan politik Islam yang syumul dan dinamis.

Dr Siddiq Fadzil, dalam ucapannya yang noltalgik “Memahami Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan” merumuskan bahawa perjuangan “Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia.”

Antara tiga garis besar yang membentuk fikrah dasar perjuangan PAS adalah menzahirkan cita-cita murni melaksanakan tuntutan syari’at, menyalakan obor nahdah, dan menegakkan syiar agama dan iltizam perjuangan ini terus dibakar dan dinyalakan dalam perjuangan menuntut pembaharuan dan reformasi Islam.

Pemimpin ulung yang telah berjasa membangun dan memperkasai perjuangan ini sejak mula ialah Dr Burhanuddin al-Helmy yang memimpin perjuangan daripada tahun 1956-1969, sang doktor yang telah menebus dan mewakafkan hidupnya untuk satu perjuangan yang tidak dapat dikompromi dan ditawar-tawar oleh sogokan dan ugutan penjajah.

Latar kehidupan

Nama asalnya ialah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohammad Noor. Beliau dilahirkan pada 29 November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak. Pak Doktor ini berasal daripada keturunan ulama dan sufi dari Sumatra yang berhijrah ke Tanah Melayu. Bapanya, Haji Muhammad Noor, adalah seorang alim Minangkabau yang mengajar tasawuf dan mengusahakan ladang tani. Beliau pernah berguru dengan Sheikh Mohammad Khatib al-Minangkabawi dan beberapa pemuka agama di Mekah. Ibunya Sharifah Zahrah Habib Osman adalah wanita Melaka daripada suku peranakan Arab-Melayu. Mereka bertemu di Perak setelah Haji Muhammad Noor kembali dari menunaikan haji di Mekah.

Menurut Dr Burhanuddin dalam lakaran kisah hidupnya: “Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya daripada kecilnya dilatih secara wara’nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjemaah, membaca Qur’an dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.” (Simposium Tariqat dan Tasawuf, 1972)

Dr Buhanuddin digelar al-Hulaymi atau al-Helmy kerana karakternya yang tenang dan penyabar, seperti bapanya yang digelar Abi Halim, sebagaimana dilukiskan oleh Saliha Haji Hassan dalam tulisannya, Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography: “Pilihan kata asal al-Hulaimi itu benar-benar melambangkan keperibadian Dr Burhanuddin yang lemah-lembut, santun, tenang, sabar… istilah al-Hulaimi menurut hukum tatabahasa Arab mempunyai makna yang sama dengan al-Helmy tetapi dalam bentuk yang merendah atau lebih kecil (Saliha Hj. Hassan 1997; Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography). Beliau turut dikenal sebagai Pak Doktor dalam kalangan pengikut dan rakannya.

Pada tahun 1927, beliau merantau ke Pulau Pinang untuk menuntut di Madrasah al-Mashoor al-Islamiyyah dan berguru dengan pemikir dan reformis penting seperti Shaikh Abu Bakar al-Rafi‘i, Haji Arshad al-Bawayih, dan Ashiran Yaakob, yang menggerakkan perjuangan kaum muda yang telah dicetuskan oleh Syed Sheikh al-Hadi, dan Sheikh Mohamad Tahir Jalaluddin al-Azhari di Tanah Melayu. Beliau menamatkan pelajarannya dengan memperoleh thanawi (menengah atas) pada 1934.

Kemudian, dengan biasiswa yang ditawarkan oleh saudagar India Muslim, beliau melanjutkan pelajaran ke India dan mengambil kursus perubatan homeopatik di Madrasah al-‘Ulum Musalmanan (Anglo Indian College) di Aligarh. Madrasah yang ditubuhkan oleh Sir Sayyid Ahmad Khan pada tahun 1875 ini berhasrat untuk melahirkan para reformis Islam yang mahir dalam falsafah moden dan disiplin sains yang luas.

Dr Burhanuddin berhasil menyiapkan tesis kedoktorannya dalam bidang falsafah, dan sewaktu menyusun disertasinya beliau merujuk kepada karya-karya besar dalam bahasa Arab dan Eropah, dan menelusuri sejarah pemikiran dan peradaban dunia yang ditulis oleh kelompok sarjana dari timur dan barat, dan berhasil menggarap dan menguasai dengan baik lima bahasa besar.

Demikian dirakamkannya: “Maka saya di India, saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda, memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (PhD) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah.”

Setelah pulang ke tanah air, berbekalkan pengalaman dan kelulusannya, beliau diterima mengajar di Madrasah al-Juneid, Singapura. Beliau turut menawarkan khidmat perubatan homeopati di dua cawangan kliniknya, di Johor Bharu dan di Jalan Picitan, Singapura yang dibina dengan bantuan seorang doktor India, Dr N. Rajah.

Pengaruh Tasawuf

Pak Doktor tertarik kepada tariqat Naqhshabandiyyah yang berkembang di India, yang mempunyai dasar dan hujah tasawwuf yang meyakinkan. Tariqat ini aktif mendakyahkan ajarannya di Asia Tenggara dengan pengaruh yang signifikan di kalangan pengikutnya yang terus berkembang dengan pantas. Ketika di India, beliau menghadiri halaqat-halaqat tasawuf ini dan mengutip pengalaman ma‘rifi, dhawqi dan tajribi melalui pembacaan yang substantif.

Perkara ini dikupas dalam tulisannya: “Saya pelajari sufi daripada bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula. Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ulama-ulama’ Syafi’i dan ulama-ulama’ tasawwuf, sama ada ulama-ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ulama-ulama’ fiqh. Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha sebagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.”

Faham tasawuf yang dipintalnya turut merangkul tasawuf moden dan agresif yang mendakap semangat jihad. Dan perjuangannya terus digilap dan dipasak dengan lebih jelas setelah menghadam disiplin agama dan sosial yang penting seperti falsafah, perbandingan agama, tasawwuf dan ilmu tariqat.

Menurutnya pengajian tasawwuf harus dibarengi dengan pengetahuan falsafah dan perbandingan agama, sebagai asas keilmuan yang zahir, seperti dinyatakannya dalam buku Simposium Tariqat dan Tasawuf: “Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu pada zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau maa wara’a al-taba’ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.”

Kerangka Pemikiran

Dr Mujahid Yusof Rawa, dalam penulisannya yang kritis seperti Rejuvenasi PAS dan Menuju PAS Baru mengungkapkan bahawa langkah perjuangan yang digariskan Dr Burhanuddin harus diangkat dan dilontarkan dalam menuju PAS baru. Beliau menuntut supaya hierarki PAS berganjak ke arah perubahan, stereotaip dicabar dan pembaharuan dan kesedaran politik tentang esensi kebebasan, kesedaran watan, faham keadilan dan nafas perjuangan dan semangat kemerdekaan ditanam dan dipugar. Begitu juga strategi perjuangannya dalam politik tergambar daripada kegiatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) menentang pendudukan British dan Jepun, seperti diungkapkannya:

“Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di rimba jadi anti-fasis, ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya.”

Dalam pergerakan politik, Pak Doktor memilih wadah Islam sebagai landas perjuangan. Beliau disifatkan sebagai sosok pemikir yang terbaik dilahirkan dalam dekadnya, dan penggagas siyasah syar‘iyyah dan fiqh awlawiyyat Islam, dan faqih besar dalam mazhab. Pendekatan politiknya adalah berteraskan amalan perlembagaan dan undang-undang, dengan memilih cara aman untuk menuntut perubahan.

Demikian seperti yang diungkapkan dalam pidatonya dalam Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman pada Disember 1956. “Jalan kekerasan tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup manusia. PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan dengan dasar dan ideologi PAS. Perjuangan kemerdekaan tanah air akan diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan berperlembagaan.”

Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, perhitungan politiknya adalah bercorak situational politics (siyasah waqi‘) seperti yang dihuraikan oleh saudara Salahuddin Ayub ketika membahaskan sumbangan dan falsafah perjuangan dan pemikiran dakwah Pak Doktor: “Dalam konteks ini, saya ingin mengajak para pemuda semua untuk kita menghayati pemikiran dakwah yang digagaskan oleh Almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau amat menekankan keterbukaan dalam pendekatan dakwah yang sesuai dengan naluri masyarakat sebagaimana berhikmahnya Wali Songo yang menggunakan saluran seni hiburan untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Pendakwah tidak menghukum, tetapi memujuk dan menasihati. Perbezaan bukan asas kepada perpecahan, tetapi menzahirkan keterbukaan. Jangan kerana kita sukakan susu, lalu mengatakan kopi tidak baik, tetapi minumlah susu dan hargailah peminum kopi.”

Itulah keterbukaan yang ditunjukkan oleh Dr Burhanuddin. Beliau dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulama kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat dengan ulama kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Inilah model pendakwah yang mesti dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang.” (Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin al-Helmy, 2009)

Ahmad Boestamam menulis tentang kekuatan pengaruh Dr Burhanuddin dan kecekalan perjuangannya: “Di atas segala-galanya, Dr. Burhanuddin al-Helmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran yang tepat, layak dan sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah Bapak Kebangsaan Melayu” (Ramlah Adam 1993; Dr. Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM 1946-1948.).

Sewaktu menuntut di India, Pak Doktor telah mula bergelut dengan arus pemikiran Islam moden yang dicanang oleh Sayyid Ahmad Khan, Jamaluddin al-Afghani, Syed Ameer Ali (1849-1928), Aga Khan, Nehru dan Muhammad Ali Jinnah (pemimpin Islam Pakistan).

Pandangannya yang progresif turut dibentuk daripada pengalamannya menuntut di Indonesia, yang meraikan semangat ikhtilaf, mengangkat kekuatan akal dan ijtihad, mengembangkan faham budaya dan politik yang dinamis dan menggerakkan reformasi dan cita-cita pembaharuan yang kental untuk merobohkan benteng taqlid yang mengikat kebebasan fikrah yang diwarisi daripada pemikiran masyarakat yang jahil dan bobrok.

Hal ini dinyatakan dalam makalahnya Tasawuf dan Tariqah: “Bila saya lepas belajar ke luar di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ulama-ulama kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba’ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, asy-Syaukani, [Syeikh] Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Redha dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.”

Untuk mengejar cita-cita ini, beliau menggerakkan perjuangan menuntut perubahan dan reformasi dengan berkecimpung dalam politik marhaen dan gerakan rakyat. Selama lebih 30 tahun mengharungi perjuangan (1930-1960 an) beliau telah memimpin pertubuhan-pertubuhan penting seperti KMM (Kesatuan Melayu Muda), KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung), PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat-All Malayan Council of Joint Action), dan Persatuan Islam Sa-Tanah Melayu atau Parti Islam se-Malaysia (PAS).

Pada tahun 1937, Pak Doktor menerbitkan majalah Taman Bahagia, sebagai tapak perjuangannya untuk memecahkan monopoli British di Tanah Melayu, seperti diungkapkannya: “apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.”

Kamaruddin Jaafar dalam artikelnya Perjuangan dan Pemikiran Politik Dr Burhanuddin al-Helmy merumuskan bahawa dalam tiga dekad perjuangannya, riwayat politik Dr Burhanuddin dapat dirangkum dalam tiga ciri utama: kemerdekaan, kebangsaan Melayu dan Islam. Nilai-nilai ini ditanam dalam perjuangannya menentang penjajah dengan semangat dan daya tahan yang kental, dengan usaha menyemarakkan nilai progresif dan ide radikal dalam ideologi dan aqidah perjuangan PAS, seperti diungkapkan oleh Ahmad Boestmam dalam bukunya Merintis Jalan ke Puncak: “Kalau PAS berjiwa kiri dan progresif juga untungnya kepada Partai Rakyat Malaya, demikian saya memperhitungkan. Setidak-tidaknya Partai Rakyat Malaya tidak akan menghadapi ‘lawan’ yang bertambah sebagaimana kalau kiranya PAS berjiwa kanan dan tidak progresif.”

Pak Doktor menggariskan strategi perjuangan dan matlamat politik yang ideal dan hala tuju yang jelas dalam harakat PAS, dengan merangka agenda yang praktis dan inklusif, yang menggabungkan tradisi pemikiran daripada semua aliran untuk mempertahankan kemerdekaan, seperti yang dilafazkannya dalam Muktamar tahunan pada 1956: “Tiap-tiap kita mengingini satu negara Malaya yang demokratis dan berdaulat dalam erti kata yang sebenarnya. Cita-cita ini belum tercapai sekarang dan tidak akan tercapai pada 31 Ogos 1957 ini. Ke arah cita-cita itulah PAS akan berjuang bahu membahu dan saling berbimbingan tangan dengan segala golongan dalam masyarakat.”

Dalam mengeratkan perpaduan ini beliau mengungkapkan kesediaan PAS bertahaluf siyasi (mengikat kerjasama politik):

“Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan bangsa dan tanah airnya. PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan bangsa dan tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama.

Saya katakan bahawa penjajahan adalah bercorak internasional, satu gergasi yang pengaruh dan kekuatannya dirasakan di seluruh dunia. Kerana itu, penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu golongan saja, satu parti saja, tetapi sebaliknya hanya dengan tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga anti-imperialisme seluruh masyarakat.

Oleh itu, PAS sanggup bekerjasama dengan apa sahaja golongan, apa saja parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan kemerdekaan bangsa dan tanah air… perjuangan itu sama besarnya dengan perjuangan yang telah kita pusakai daripada datuk-nenek kita menentang penjajahan semenjak kejatuhan empayar Melaka dahulu.

Sudah tentu perjuangan yang sebesar itu mengkehendaki tenaga yang sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini, menghendaki pengorbanan yang rela daripada segenap golongan progresif dalam masyarakat. Tenaga-tenaga nasionalisme, keagamaan dan sosialisme yang sihat dalam masyarakat harus kita gemblengkan, kita padukan mulai sekarang untuk merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan tanahair kita.”

Kamarudin Jaffar dalam bukunya, Dr Burhanuddin al-Helmi: Politik Melayu dan Islam menzahirkan kekuatan idealisme perjuangan yang dicanangnya dan iktibar serta kesannya dalam pemberdayaan bangsa: “Adalah diakui umum bahawa Dr Burhanuddin al-Helmy merupakan seorang tokoh terkemuka di alam Melayu ini. Sumbangan beliau di bidang politik, perjuangan kemerdekaan dan ilmu perubatan serta peranan Islam yang diletakkan oleh beliau di bidang-bidang tersebut perlu sekali dipelajari oleh masyarakat kita hari ini”.

Lontarannya yang memukau:
“Di atas robohan kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
bersatu-padulah segenap baka,
membela hak keadilan pusaka”

Yang diucapkan semasa kongres PKMM ke-2, tanggal Disember 1946 di Melaka cukup menzahirkan aspirasi dan cita-cita besarnya untuk mengangkat harakat bangsa dan agama, dan terserlah dalam perjuangannya mendirikan partai Islam dan memimpin harakah perjuangan yang terbesar di Malaysia.

Sebangsa, Senegara, Sejiwa di Selangor meriah

Muhammad Faizal,
SHAH ALAM: Sambutan hari kemerdekaan ke-55 tahun peringkat Negeri Selangor meriah apabila lebih dua ribu rakyat negeri ini membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.

Sambutan yang bertemakan Sebangsa, Senegara, Sejiwa telah dapat memenuhi semangat perpaduan serta keharmonian apabila pelbagai kaum tanpa mengira agama serta umur hadir untuk menyambut ambang kemerdekaan.

Dalam masa yang sama sambutan itu juga telah dimeriahkan dengan perbarisan 53 kumpulan dan 7 kumpulan pancaragam dari sekolah-sekolah di Selangor.

Manakala barisan kepimpinan Pakatan Rakyat terdiri daripada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri juga turut hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Selain itu juga keseluruhan barisan exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga hadir termasuk kakitangan kerajaan yang lain.

Sambutan yang bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan disusuli dengan perbarisan serta persembahan tarian tradisional sebelum ucapan daripada pemimpin utama negeri dan Pakatan Rakyat.

Tepat jam 12 malam, Menteri Besar Selangor telah melaungkan 'merdeka' sebanyak tujuh kali disertai dengan percikan bunga api di ruang udara bandar Shah Alam.

Sementara itu, kontijen dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah dinobatkan sebagai johan pada acara perbarisan dengan membawa pulang wang tunai RM2,500.

MBPJ mengenakan seragam pasukan keselamatan pada waktu zaman pemerintahan Inggeris itu telah menarik minat mereka yang hadir kerana berjaya mengembalikkan nostalgia pasukan keselamatan sewaktu zaman menuntut kemerdekaan.

Tian Chua: Anjur Hari Merdeka PR bukan ‘sambutan bayangan’

RUZY ADILA IDRIS

Tian Chua
Tian Chua
 
KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) menafikan penganjuran Hari Kemerdekaan oleh kerajaan-kerajaan negeri perikatan itu tahun ini termasuk penggunaan tema sendiri satu bentuk ‘sambutan bayangan’.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), PR tidak mampu membuat buat apa-apa sambutan kerana tidak menerajui kerajaan negeri kecuali Kelantan oleh Pas.

"Melalui negeri-negeri yang diperintah PR ketika ini, sambutan dibuat mengikut kesesuaian setiap negeri tetapi matlamatnya tetap sama untuk tampil semangat patriotisme.

"Saya yakin kalau PR jadi pemerintah, sambutan akan lebih meriah dan apa yang PR buat sekarang adalah satu bentuk sumbangan," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Katanya lagi, kemungkinan jika PR memerintah, mereka akan mempelawa lebih ramai sasterawan untuk sama bantu menghasilkan tema yang lebih komprehensif.

Beliau yang juga Ahli Parliem Batu berkata, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said diundang untuk membantu memilih cogan kata terbaik dan membuat terjemahan.

"Tema asal yang ingin digunakan ialah 1 Negara, 1 Bangsa, 1 Hati, 1 Jiwa dan kemudiannya ditukar kepada Senegara, Sebangsa, Sejiwa.

"Menurut Pak Samad, kata hubung "se" adalah lebih baik daripada "1" kerana selepas 55 tahun merdeka rakyat Malaysia akhirnya diiktiraf sebagai sebangsa.

"Melayu, India dan Cina itu lebih sesuai disebut sebagai 'kaum' yang mewakili etnik-etnik di Malaysia," katanya yang mengambil contoh rakyat Indonesia yang  bangga mengiktiraf diri mereka sebagai bangsa Indonesia,” jelas beliau lagi.

Ketika ditanya mengenai penekanan PR dalam sambutan kemerdekaan, Tian Chua berkata, perikatan itu memfokuskan soal  'titik pertemuan' antara pemimpin dan rakyat tanpa mengira kaum, agama, status dan pangkat dalam menyambut Hari Kemerdekaan ke-55, yang menyaksikan penggunaan tema yang berbeza.

Tian Chua berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini diharap dapat memberi peluang kepada pemimpin PR memupuk nilai-nilai perpaduan dan bergerak maju ke hadapan bersama-sama.

"Kami tidak mempertikaikan bagaimana mana-mana pihak membuat sambutan kemerdekaan ini, tetapi di pihak PR sendiri, fokus kami lebih kepada konsep asal negara ini supaya perpaduan akan terus terjalin dan dapat mengelakkan perpecahan.

"Malah, PR sebelum ini turut mengkritik kerajaan kerana menggunakan pentas sambutan kemerdekaan sebagai platform kempen politik," katanya.

Beliau menambah, sebelum ini PR pernah merayu Kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya memilih tema, logo dan lagu sambutan kemerdekaan yang lebih inklusif.

Ujar Tian Chua, selain desakan dari PR, desakan daripada beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) kemudiannya menyebabkan Kerajaan BN akur dan menukar logo dan lagu sahaja dengan mengekalkan tema sambutan yang sama iaitu "55 Tahun Janji Ditepati".

"Tema berkenaan jelas melambangkan BN bersifat kepartian.

"Sedangkan pada zaman perdana menteri yang sebelum ini ada juga memperkenalkan tema yang cenderung kepada parti tetapi tidaklah ketara seperti sekarang hingga berlaku perpecahan," ujarnya lagi.

Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540

GOKINA MORGANAN

Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540
Lim Chuan Soon dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen. 
 
GEOGETOWN - Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada hujung Jun lalu berhubung kes pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM), dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjual ijazah palsu pada harga RM540.

Lim Chuan Soon, 26, bekas pemilik perniagaan permainan dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut  pertuduhan, Chuan Soon itu didakwa menipu Tang Yong Peng, 23,  dengan mengambil RM540 sebagai bayaran bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dari USM sedangkan sijil itu tidak sah laku.

Chuan Soon dari Taman Tokai Jaya,  Alor Setar, Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank, I- Avenue Bayan Baru, di sini  pada 25 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon, kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.

Chuan Soon yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah itu dikurangkan.

“Saya minta jaminan dikurangkan. Saya daripada keluarga miskin. Kedua ibu-bapa saya meninggal sejak saya kecil lagi. Disebabkan inisiden ini, saya kehilangan kerja, kawan-kawan dan saya tidak ada wang simpanan untuk membayar jaminan tinggi.

“Puan hakim, saya bertanggungjawab ke atas semua pertuduhan dihadapi di mahkamah. Saya bersumpah tidak akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding mahkamah. Saya bersedia memberi sepenuh kerjasama sepanjang kes ini dibicarakan. Dengan ini, saya memohon wang jaminan dikurangkan," katanya.

Mengambil kira rayuan itu, Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 September ini.

Sementara itu, difahamkan  Chuan Soon menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan yang sama iaitu menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 23, dengan mengambil RM14,500 sebagai bayaran mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) USM sedangkan ia tidak sah laku.

Khamis, 30 Ogos 2012

OCPD KL: Perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ gugat sambutan Merdeka


KUALA LUMPUR — Ketua Polis Daerah Dang Wangi, OCPD Zainuddin Ahmad, hari ini berkata, perhimpunan Janji Demokrasi yang dianjurkan oleh Gabungan Janji adalah perhimpunan haram yang akan menggangu persiapan sambutan Hari Kemerdekaan ke 55. 
 
Menurut beliau lagi, Gabungan Janji telah gagal untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Akta Perhimpunan Aman, 2012.

“Saya ingin memaklumkan bahawa perhimpunan Gabungan Janji Demokrasi yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 30 Ogos 2012 antara 2200 hrs hingga 2400 hrs adalah satu perhimpunan yang bertentangan dengan undang-undang diatas alasan-alasan seperti berikut:

“Gagal memberi pemberitahuan bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kepada ketua polis daerah, Dang Wangi.

“Gagal memperoleh persetujuan daripada pemunya tempat perhimpunan, iaitu Dataran Merdeka bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Maria Chin Abdullah: Dipanggil oleh pihak polis untuk berbincang mengenai program Gabungan Janji. — Foto fail
“Akan menggugat persiapan yang dibuat untuk menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2012,” kata surat yang dikirimkan oleh Polis Daerah Dang Wangi kepada Maria Chin Abdullah, wakil Gabungan Janji.
 Isnin lalu, Maria telah dipanggil oleh pihak polis untuk berbincang mengenai program Gabungan Janji di Dataran Merdeka malam ini.
Malam ini, Gabungan Janji akan berhimpun di Dataran Merdeka dengan berbaju kuning.

Dalam sidang akhbar Jumaat lepas, Gabungan Janji memberitahu bahawa perhimpunan pada malam ambang kemerdekaan akan turut diadakan di negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sasterawan negara, Datuk A Samad Said yang juga pengerusi bersama Bersih dijangka akan membaca puisi khas semasa program tersebut.

Perhimpunan ini bertujuan untuk mendesak kerajaan menunaikan lapan tuntutan Bersih seperti pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, kempen pilihan raya sekurang-kurangnya 21 hari, akses media yang adil kepada semua, pihak kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Orang kanan Isa Samad bakal Pengarah Besar Felda?

 
Nama Timbalan Pengarah Felda Faizoull Ahmad disebut-sebut kerana 'kesetiaannya' pada Pengerusi Felda itu. 



KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mendakwa jawatan Pengarah Besar Felda yang sebelum ini milik Datuk Dzulkifli Abdul Wahab akan digantikan dengan ‘orang kanan’ Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Presiden Anak Mazlan Aliman mendakwa, Timbalan Pengarah Felda Faizoull Ahmad
disebut-sebut menjadi calon terdekat pengganti Dzulkifli kerana ‘kesetiaannya’ pada Isa Samad.

Katanya, nama Faizoull sudah pun dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Jika dakwaan ini benar, maknanya cadangan Isa Samad untuk menyingkirkan Dzulkifli terlaksana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini.

Namun Mazlan mendakwa, Faizoull sebaliknya tidak layak duduk di kerusi Pengarah kerana masih junior berbanding dua lagi Timbalan Pengarah Felda lain, tambahan beliau hanyalah pegawai Gred 54.

Beliau berkata setakat ini kerusi Pengarah kosong berikutan Dzulkifli ‘dipinjamkan’ ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta berkhidmat sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas di Rom, Itali.

Oleh itu, Mazlan berkata pihaknya berharap Najib dapat mempertimbangkan semula pelantikan Faizoull kerana kelayakannya jauh berbeza berbanding Dzulkifli yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam Felda.

“Kita akan pastikan Dzulkifli dapat semula jawatannya dan tamatkan perkhidmatan Isa Samad sekirannya Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya,” katanya.

Isu WWW1: Nizar Menang! Utusan Diperintah Bayar Gantirugi

 
KELAB GREENBOC

Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Utusan Melayu (M) Bhd membayar gantirugi kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas saman yang difailkan ke atas penerbit akhbar tersebut pada Julai lalu.

Peguamnya Mohd Zamri Ibrahim berkata, keputusan interlocutari hari ini memerintahkan demikian memandangkan Utusan tidak diwakili peguam untuk pendengaran kes tersebut.

Sehubungan itu, pendaftar mahkamah Mazuliana Abdul Rashid memerintahkan Mohammad Nizar memfailkan taksiran bagi ganti rugi berkenaan untuk tuntutan daripada Utusan, katanya.

"Kita kena kemuka taksiran kerana saman ini kita tak tentukan berapa yang kita hendak," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, Utusan tidak lagi berhak untuk merayu keputusan tersebut namun masih berpeluang untuk mengenepikan keputusan hari ini yang dibuat tanpa kehadirannya itu.

Mohammad Nizar pula ketika dihubungi berkata, ketidakhadiran peguam Utusan hari ini menunjukkan akhbar tersebut tidak dapat membela laporan yang didakwa memfitnahnya itu.

"Mereka tak hantar peguam, melambangkan mereka tak boleh bela diri mereka," katanya lagi.


Mohammad Nizar mendakwa, Utusan pada 31 Mei menerbitkan menerbitkan pernyataan fitnah berhubung kenyataannya berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.

Mohammad Nizar mendakwa pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang penderhaka kepada sultan amnya, dan Sultan Johor khususnya, beliau adalah ahli politik yang anti-sultan dan seorang ahli politik yang cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan Johor.

Sementara itu, satu lagi saman Mohammad Nizar berhubung kes serupa ke atas stesen penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) akan diputuskan pada 19 September, kata seorang lagi peguamnya, Mohd Fitri Asmuni.

"TV3 baru kemuka pembelaan. Jadi kita beri jawapan dan pada masa sama, mahkamah minta TV3 cadang penyelesaian (dengan Mohamad Nizar)," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya, TV3 mengemukakan pembelaan pada 22 Ogos lalu untuk kes yang didengar di hadapan hakim Datin Yeoh Wee Sian itu.

ADUN Pasir Panjang itu mendakwa TV3 pada 30 Mei lalu mengeluarkan berita melalui rancangan Buletin Utama pukul 8 malam, berhubung satu kenyataannya di Twitter. -mk

Ulasan GB

Alhamdulillah, akhirnya Allah memperkenankan doa GB dan kita semua. Sebelum ini GB pernah menulis:

Kini episod WWW1 melibatkan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Kumpulan akhbar yang sama memainkan peranan untuk memburukkan pimpinan PAS.

Digendangkan secukup-cukupnya untuk menghasut rakyat Johor supaya membuat laporan polis dan hasilnya terdapat 49 laporan polis dibuat. Diberitakan 30,000 berhimpun (itu angka BERNAMA, GB kata dulu jika perhimpunan itu melibatkan UMNO, ia perlu dibahagikan 10, iaitu 3,000) di istana Johor untuk menunjukkan kesetiaaan kepada Sultan Johor.

Demikian jeleknya kewartawanan longkang amalan kumpulan akhbar Utusan. Mencari makan dengan menulis berita berunsur fitnah, bergambar lucah dan seumpamanya sudah menjadi resam mereka.

Dari pemerhatian GB, hukum kebenaran dan keadilan akan menghantar Utusan ke tong najis akhirnya.

Kita akan sentiasa berdoa agar Allah memberikan pengajaran kepada kumpulan akhbar ini.

Ya Allah ya Tuhan kami, Kau tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

Amin Ya Allah Amin Ya Rabbail 'alamin.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Sepanjang Perjalanan Yang Membimbangkan

MSO

Mulanya saya tidak mahu menyambung catatan kembara Aidifitri 1433 cukuplah setakat dua siri saja. Kesibukan yang membelenggu diri menjadikan saya ignore sahaja bahan seterusnya. Tetapi setelah  meneliti tentatif program kembara Aidifitri Penasihat Umum PKR Anwar Ibrahim bersama pimpinan ke beberapa buah negeri pada 31 Ogos hingga 2 September ini menyebabkan saya terbuka hati untuk menulis siri ketiga dan akhir ini.

Ini semua kerana dalam kembara bersama bas dua tingkat itu yang saya kira pertama kali dilakukan mana-mana pemimpin politik ia agak menarik. Selama ini yang menggembara dengan bas dua tingkat sambil memberi kuliyyah dan butir-butir pengeras semangat jihad (indoktrinasi) kepada anak-anak buahnya hanya bekas jemaah Darul Arqam.


Sebuah tasik di Bukit Besi katanya sudah lama ditakluki bendera Umno.
Acara atau pendekatan ini sudah dilakukan oleh Allahyarham Ashaari Muhammad sejak lebih 30 tahun lalu. Dalam kata lain Ashaari lebih jauh ke depan berbanding dengan orang politik. Dan khabarnya kaedah menemui rakyat dengan menbaiki bas dan singgah di satu bandar ke satu bandar (lokasi) ini juga telah dipraktikan oleh para pemimpin politik di Amerika Syarikat. Jadi kembara Anwar dengan bas dua tingkat ini adalah pembaharuan dan pendekatan baru yang mungkin juga akan diikuti sama oleh pemimpin Umno, Pas dan lain-lain parti.

Sebelum ini Anwar telah melakukan pendekatan atau mengubah cara persembahan pidatonya di pentas. Beliau tidak lagi statik di atas pentas depan restrom tetapi bergerak ke serata pentas. Stail teater yang bergerak memenuhi pentas telah diparaktikan oleh Anwar dan ia ternyata memukaukan pendengar.

Program jelajah dengan bas sempena Aidifitri itu Anwar akan bertolak dari KL pada jam 10:00 pagi bermula di ibu pejabat parti PKR di Damansara. Dia akan mula bergerak selepas mengadakan sidang akhbar khas di pejabat PKR.

Perjalanan itu akan menelusuri Pahang, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah. Di Pahang rombongannya akan singgah di beberapa tempat di negeri berkenaan sambil berjumpa dengan orang ramai. Meneliti ini apa menjadi kemusykilan kepada saya ialah kenapa kembara Aidifitri itu tidak melibatkan negeri Terengganu?
Saya merasakan peninggalan Terengganu ini ia menjadi kontra dengan perjalanan Aidifitri saya tahun ini yang mengambil jalan pulang menerusi Terengganu.

Disebabkan pengembaraan Anwar itu meninggalkan Terengganulah maka saya menyambung catatan ini. Kebetulan saya melalui Terengganu dan mata dapat menyambar saujana pemandangan di negeri berkenaan rasanya perlu kalau membuat sedikit laporan untuk peringatan dan perhatian umum. Mudah-mudahan dengan apa yang saya cuba catatan ini ia memberi makluman dan pengetahuan politik kepada PKR dan Pas.

Hari itu saya memasuki Terengganu menerusi Pasir Puteh melalui Jertih, Besut dan Setiu.  Dalam kawasan ini terdapat 12 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pemandangan di sini begitu kontras dengan apa yang saya lihat di beberapa kawasan di Kelantan termasuk di Pasir Puteh. Dari segi semangat dan keghairahan pembangkang di Terengganu jauh bezanya dengan semangat dan keghairahan pembangkang di Kelantan. Pembangkang (UBN) di Kelantan lebih bersemangat.

Bermula di Jertih lagi membawa ke Permaisuri (Setiu) serta kawasan-kawasan di sepanjang jalan pantai hingga ke simpang memasuki lebuh raya Gemuruh dipenuhi bendera UBN. Di mana-mana sahaja bendera BN dicocok dan berkibar megah. Bendera Pas ternyata begitu kurang sekali dan kalau ada pun tahap ketinggiannya tidak mencabar ketinggian bendera BN. Apa lagi bendera PKR hampiri sama sekali tidak kelihatan. Pemandangan ini nampak sekali pembangkang di Terengganu seolah-olah dalam keadaan terhimpit tertekan. Semacam  pembangkang di Terengganu masih belum wake-up.

Paling menyedihkan ialah di Permaisuri langsung tidak kedapatan bendera PKR. Hampir semua bandar Permaisuri ditakluki dengan bendera BN. Ini jelas menunjukkan BN telah menguasai kawasan berkenaan.  Kalaulah saya tahu keadaan itu mungkin saya tidak akan mengambil jalan untuk pulang kerana ia boleh meletihkan. Perjalanan yang panaromanya tidak dipenuhi bendera politik tidak sekata menjadikan badan mudah letih.

Sepanjang perjalanan selepas meninggalkan Permaisuri dan Setiau tercari-cari sebab musabab kenapa keadaan berlaku demikian. Di manakah salahnya. Apakah pembangkang di Terengganu belum bangun dan tidak merasa wap pilihan raya yang semakin dekat? Apabila teringat kepada apa disebutkan seorang kawan baru saya insaf dan mengerti. Bahawa Pakatan Rakyat di Terengganu ada masalah. Pas dan PKR tidak sekata dan mendapat formula baik untuk menyerang BN di negeri berkenaan dalam pembahagian kerusi.

Masalah pembahagian kerusi di Ternegganu masih belum selesai. Pas dikatakan tidak cuba menunjukkan sikap setiakawan yang baik dengan PKR. Sebelum ini PKR diberi dua kerusi parlimen dan empat state tetapi kerusi itu juga cuba ditarik balik atau membuat pertukaran yang tidak begitu menyenangkan PKR. Kerusi Parlimen Setiau ditawarkan kepada Pas dengan menarik balik kerusi Dungun yang sebelum ini ditandingi PKR. Kedua pihak seakan mahu membiarkan Setiu begitu saja tanpa sepakat memberi cabaran kepada UBN.

Walaupun Pas menawarkan satu kerusi Dun - Bukit Besi sekiranya Pas sedia menerima Setiau tetapi tawaran itu kurang disetujui PKR yang masih mahukan kerusi asal mereka parlimen Dungun. Sebenarnya punca dan permasalahan kecil saja tetapi disebabkan kedua pihak tidak mencapai persefahaman maka ia memberi kesan kepada kerancakan kempen termasuk kibar bendera di Terengganu.

Gara-gara itu jugalah Anwar Ibrahim sendiri dikatakan kurang berminat untuk memasuki Terengganu apa lagi ada beberapa program dihadirinya disabotaj tidak mendapat sambutan Pas Terengganu sepenuhnya. Pernah terjadi lokasi yang hendak didatangi Anwar ditutup dan tindakan ini menggambarkan hubungan Pas - PKR Terengganu tidak begitu lendik. Mislanya di Dungun satu program ceramah PKR melibatkan Anwar sendiri mendapat kerjasama Pas sepenuhnya dan keadaan ini memalukan.

Sebenarnya  diakui kedudukan Pas di Terengganu lebih kuat dari PKR malahan parti itu pernah membentuk kerajaan sebanyak dua kali. Bagaimana pun kekuatan itu tidak wajar dijadikan asas atau alasan untuk Pas memonopoli kerusi atau pun tidak mengejapkan kerjasama dengan PKR. Mungkin PKR Terengganu relatif hanya seperti penyu kelemasan tetapi Pas tidak boleh 'menohok' - lemnpar begitu saja akan pengaruh dan juga aura peribadi Anwar Ibrahim.

Politik yang bijak ialah politik yang mengambil apa saja oportuniti yang ada termasuk menggunakan sisa-sisa pengaruh sesiapa saja untuk menang. Apabila mengenangkan situasi inilah menyebabkan baru saya faham kenapa Anwar tidak ikut memilih Terengganu untuk dijelajahi sempena Aidifitri ini. Eloklah kalau Pas Terengannu mengambil kira atau pun membuat perhitungan semula sifir politiknya kalau parti itu benar-benar ingin 'mengigat' penyau di lautan China Selatan.

Saya sangat bimbang kalau masalah ini tidak dapat diatasi peluang yang cerah di Terengganu akan menjadi peluang yang kelabu.