HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2012

Hanya golongan salah guna IT takut Seksyen 114A

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR - Setiap lapisan masyarakat tidak perlu takut dengan pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 atau memandang serong usaha tersebut.

Ahli Majlis Peguam, Ranjit Singh Dhillon berkata, hanya golongan yang cenderung menyalahgunakan teknologi maklumat (IT) dan internet perlu takut kepada pindaan akta berkenaan.

Tambah beliau, pindaan akta itu hanya bertujuan mendidik masyarakat supaya tidak memuat naik sebarang artikel, komen atau kenyataan yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab sama ada menerusi internet, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan Twitter.

"Seksyen 114A sepatutnya dilihat sebagai pedang dan perisai. Bagi sesiapa yang mempunyai niat tidak baik, kita gunakan Seksyen 114A sebagai pedang dan kepada yang tidak bersalah, ia bertindak sebagai perisai," katanya.

Beliau yang juga peguam jenayah berpengalaman berkata demikian seperti dipetik menerusi wawancara bersama akhbar New Sunday Times hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Kabinet kini sedang meneliti Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang heboh diperkatakan di alam maya selepas mendapat arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seksyen 114A adalah salah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang digazet Julai lalu dan mendapat pelbagai reaksi para pengguna internet.

Ranjit Singh menambah, para pengkritik dan penentang pindaan tersebut perlu bertanya kepada diri sendiri mengapa mereka bertindak sedemikian kerana akta berkenaan tidak bermaksud seseorang yang didakwa telah didapati bersalah sejak daripada awal.

Sebaliknya, kata beliau, ini kerana pihak berkuasa yang pada akhirnya memikul beban membuktikan kesalahan tersebut melampaui keraguan munasabah.

Dalam pada itu, tambahnya, kecelaruan dalam persepsi masyarakat terhadap akta tersebut semakin buruk apabila ia dimanipulasi sesetengah ahli politik untuk tujuan tertentu.

"Sebagai contoh, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selama ini mengutuk 114A tetapi kemudian membuat pusingan-U apabila menggesa Peguam Negara menggunakannya (Seksyen 114A) ke atas Pemuda UMNO.

"Ia menunjukkan semua ini telah digunakan sebagai alat politik. Sikap hipokrit seperti ini membuatkan perdebatan mengenai 114A menjadi tidak terkawal," katanya.-Utusan

Tiada ulasan: