Oleh: Masdar Wahid
Ahli Umno- Barisan Nasional diseru meninggalkan segera parti itu
ekoran kenyataan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang
menyamakan kerajaan BN seperti syaitan, kata Ketua Penerangan KEADILAN,
Dr Muhammad Nur Manuty.
“Kalau bekas presiden Umno pun mengatakan kerajaan BN adalah syaitan,
maka langkah paling tepat ialah segera meninggalkan Umno dan berhijrah
kepada Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Muhammad turut memetik ayat al-Qur’an Surah Fathir, ayat 6 yang
menyatakan syaitan adalah musuh yang sangat jelas kepada umat manusia.
Ayat berkenaan katanya, bermaksud “Sesungguhnya syaitan itu musuh
bagi kamu. Kerana itu hendaklah kamu memusuhinya. Syaitan hanya
bermaksud mengajak golongan yang terpedaya supaya sama-sama menjadi
penghuni neraka.”
Dalam pada itu, beliau berkata Mahathir sepatutnya berhati-hati dalam
membuat kenyataan apabila menyatakan “Malaikat bukan golongan suci
kerana turut membuat kesalahan” .
Jelas Muhammad, kenyataan tanpa bersandarkan kepada ilmu itu boleh mengelirukan umat Islam.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari
Abdul berpendapat Kenyataan Dr Mahathir menjelaskan sikap jahat
pimpinan BN yang terlibat dalam amalan rasuah dan salahguna kuasa.
Ini kerana katanya, pemimpin yang mengamal rasuah memiliki sifat
syaitan, justeru rakyat harus menolak mereka pada pilihan raya umum akan
datang.
“Pertama, kita ucap ‘terima kasih’ atas pengakuan ikhlas Tun itu
kerana akhirnya beliau mengakui jua dan menyamakan Umno BN dengan
‘syaitan’.
“Syaitan ini kita semua maklum sebagai makhluk jahat, zalim, penindas dan gemar merosak keharmonian manusia.
“Maka kalau sudah begitu, rakyat wajar tolak setiap calon berlambangkan Umno BN dalam pilihan raya,” katanya.
Mengulas lanjut, Johari berkata secara tidak langsung Mahathir
mengakui kebaikan Pakatan Rakyat, apabila membuat ungkapan “lebih baik
mengundi syaitan yang anda kenal, berbanding malaikat yang anda tidak
kenal’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan