Oleh Aedi Asri
KUANTAN : Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yakin lesen operasi sementara (TOL) kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng Kuantan akan dibatalkan selepas semakan kehakiman selesai dan ia merupakan pukulan terakhir untuk syarikat Australia itu meninggalkan Malaysia.
Ia berikutan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam meluluskan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili yang menolak rayuan Stop Lynas Save Malaysia (SMSL) untuk membatalkan TOL oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
10 September ini pula, Mahkamah Rayuan Putrajaya akan mendengar semakan kehakiman yang difailkan Stop Lynas Coalition (SLC) untuk mencabar TOL Lynas atas dasar kelulusan diberi tanpa laporan impak alam sekitar (EIA).
Fuziah berkata, tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak semakan kehakiman yang dibuat SLC apabila Mahkamah Tinggi Kuantan meluluskan semakan kehakiman yang difailkan SMSL.
“Jadi, Lynas bakal hadapi dua semakan kehakiman berbeza dan saya yakin (sekurang-kurangnya) satu akan berpihak kepada kita.
“Jika ia berlaku, TOL yang diberi kepada Lynas akan ditarik balik…Itu adalah pukulan terakhir (final blow) kepada Lynas,” katanya lagi ketika dihubungi.
Naib Presiden KEADILAN itu turut menggesa Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis untuk tidak mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab hanya untuk menjaga pemegang saham syarikatnya.
Beliau merujuk kenyataan Curtis yang dipetik hari ini bahawa Lynas akan beroperasi dan dapat menyediakan produk kepada pelanggannya akhir tahun ini.
“Itu adalah kenyataan yang angkuh dan tidak menghormati (perjalanan) undang-undang Malaysia…seolah-olah negara ini milik bapanya,” kecam Fuziah.
Kata Fuziah, Curtis sebelum ini sentiasa mengeluarkan kenyataan bahawa Lynas akan beroperasi pada tarikh-tarikh tertentu.
“(Sebab) Dia takut pelabur akan lari. Malah saham Lynas terus menjunam termasuk pada hari ini (hanya) 66 sen (seunit),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan